Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan akui pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbandingan itu berdasarkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat.

"Memang berbeza jika dibandingkan dengan zaman Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Najib menjadikan hubungan Kelantan dan kerajaan pusat lebih baik.

"Tapi masih banyak perkara yang kerajaan persekutuan belum laksanakan terutamanya tuntutan royalti dan kita harap dipertimbangkan," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan menegaskan beliau tidak akan mendera dan meminggirkan Kelantan daripada arus pembangunan negara.

Malah beliau turut merasmikan Majlis Pecah tanah Projek pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1 bagi membendung kejadian banjir yang sering menimpa rakyat negeri itu.

Sementara itu, Mohd Amar menegaskan Najib bagaimanapun kurang bijak apabila mengeluarkan kenyataan Kelantan hanya bergantung kepada bantuan pusat.

Menurutnya, semua negeri di Malaysia bergantung kepada pusat berdasarkan konsep federalisme.

"Selangor dan Pulau Pinang pun bergantung kepada kerajaan pusat, malah Selangor juga ada hutang dengan pusat.

"Banyak agensi yang bekerja di bawah persekutuan, kalau kerajaan pusat tak bantu dalam aspek agensi tak boleh berjalan juga kerajaan negeri," katanya.

Tambah naib presiden PAS itu, tiada negeri yang boleh berjalan tanpa bergantung kepada kerajaan persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan juga bergantung kepada negeri, sebab banyak cukai-cukai dikutip dan sampai kepada kerajaan persekutuan. Dan Malaysia tidak boleh wujud tanpa negeri.

"Saya rasa tidak bijaksana seorang perdana menteri membangkitkan perkara ini, itu konteks federalisme yang perlu kita fahami," jelasnya.

Lihat Komen
ADS