Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pereka grafik tempatan anjur 'perang logo Visit Malaysia'
Diterbitkan:  Jan 30, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Komuniti pereka grafik tempatan yang berkongsi kritikan terhadap logo promosi Tahun Melawat Malaysia 2020  menyeru pereka grafik tempatan mencipta logo sendiri.

Kukubesi Manipulasi yang merupakan pereka grafik berpengalaman, misalnya, mengumumkan melalaui laman Facebook untuk mengadakan sebuah pertandingan 'perang logo Visit Malaysia'.

Pertandingan itu dibuka kepada semua pereka grafik tempatan yang ingin berkongsi idea berkaitan logo Visit Malaysia 2020 dan akan berlangsung bermula 31 januari sehingga 9 Februari.

"Kita nak tunjukkan pereka grafik Malaysia yang mungkin mereka tak tahu mempunyai idea dan bakat yang lebih menarik," katanya dan berjanji pemenang akan mendapat hadiah daripada penaja.

Selain itu, akaun Facebook komuniti Grafik Malaya pula berkongsi logo-logo ciptaan pereka grafik tempatan yang dihantar kepada mereka.

Menurut kenyataan di akaun Facebook Grafik Malaya, logo-logo berkenaan merupakan cara pereka grafik tempatan bersuara, mengatakan bahawa logo rasmi Visit Malaysia 2020 yang baru sahaja dilancarkan adalah tidak sesuai.

"Logo menjadi sangat penting apabila ia menjadi wajah bagi sesebuah negara. Negara yang di dalamnya terkandung tanah, kerajaan, rakyat dan segala institusi yang mendokong kemandirian dan kedaulatannya.

"Ia wajah buat kita semua, dipamer dan dipertonton ke khalayak dunia. Siapa yang mahukan wajah yang tidak menarik?

"Kita punya rasa dan daya kreatif, dan logo inilah representasi segala keupayaan itu. Representasi segala usaha keras kerajaan dalam menghasilkan rakyat dengan mentaliti dan daya kerja kelas pertama," katanya mengalu-alukan pereka grafik Malaysia untuk terus menghantar logo ciptaan sendiri untuk ditularkan.

Kementerian Pelancongan sebelum ini memperkenalkan logo sempena promosi pelancongan memperkenalkan logo Visit Malaysia 2020 yang mendapat kritikan dan kecaman netizen.

Menterinya Datuk Seri Nazri Aziz bagaimanapun bertegas tidak bercadang untuk menarik semula logo yang telah dilancarkan di Chiang Mai, Thailand itu.

“Tak ada isu apa mengenai logo, kritik tu biasalah, orang Malaysia ini siapa pun tak kritik, dia tak kritik diri dia je jadi saya takkan buat apa-apa pertukaran.

“Saya tak kisah lah, netizen tempatan tu biasalah. Kalau nak dengar cakap mereka, sampai 2020 pun tak dapat persetujuan (mengenai logo),” katanya

Lihat Komen
ADS