Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pengundian telah ditambah baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan.

Katanya, sistem itu kini lebih telus berbanding zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Najib diminta mengulas mengenai pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai Dr Mahathir bersama 16 duta negara Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini di ibu negara.

Pertemuan itu bagi meminta EU memantau pilihan raya di negara ini.

“Kita tak anggap luar biasa tapi satu yang aneh sebab sistem yang kita amalkan oleh SPR adalah sistem yang sama mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

“Malah sistem kita lebih diperkukuhkan menjadi lebih telus dulu. Kita ada polling agent, counting agent, dan kita ada sistem dakwat kekal, jadi peluang untuk menipu boleh kata tak ada langsung,” katanya.

Najib berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi Umno di PWTC hari ini.

Tak ikut perlembagaan parti sendiri

Najib turut mempersoalkan alasan pembangkang tidak mempertikaikan mengenai pilihan raya dalam tempoh 22 tahun Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

“Jadi bagaimana mereka kata PRU kononnya tak adil, kenapa 22 tahun tak mengadu mengenai sistem pilihan raya dan sistem (zaman Dr Mahathir) itu kita amalkan malah lebih baik dari dulu,” katanya.

Najib dalam sidang medianya juga hari ini turut menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilihat gagal menguruskan partinya sendiri.

Katanya, beliau tidak melihat BERSATU sebagai parti yang boleh memimpin negara kerana tidak mengikut perlembagaan partinya sendiri.

“Kita tak nampak (boleh tadbir negara), dari segi prinsip perlembagaan, kalau kita buat perlembagaan sendiri, kita kena patuh perlembagaan kita.

“Saya diberitahu peringkat cawangan dan bahagian, mereka tak adakan mesyuarat tapi alih-alih di peringkat nasional ada perhimpunan.

“Kita tak tahu dari mana perwakilan datang, macam mana mereka pilih perwakilan, jadi maknanya pengurusan parti sendiri boleh dipersoalkan dari segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan dan luluskan.

"Ini petanda mereka tak boleh jalankan tanggungjawab lebih besar,” katanya.

Lihat Komen
ADS