Wabak denggi di Pulau Pinang meragut satu lagi nyawa pagi ini seorang anggota polis berusia 46 tahun di Teluk Kumbar menjadikan jumlah korban denggi di negeri ini meningkat kepada lima orang sejak Mac.

Abdul Rahim Mohamad Nor yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Kedah, meninggal dunia pada jam 1 pagi tadi, setelah diserang denggi berdarah sejak Selasa lalu.

Seorang anggota keluarganya yang namanya enggan disiarkan, berkata allahyarham pulang bercuti rehat di rumahnya di Teluk Kumbar Sabtu lalu dan mengadu demam pada Isnin pagi.

"Setelah kami membawanya ke hospital Balik Pulau, allahyarham terus dimasukkan ke wad dan Selasa lalu, allahyarham dipindahkan ke wad Hospital Pulau Pinang apabila disahkan diserang denggi berdarah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, keadaan Abdul Rahim bertambah serius semalam dan disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi.

Menurut laporan Bernama, Abdul Rahim meninggalkan seorang isteri Aminah Jaafar, berusia 30-an, dan lima orang anak.

Sebelum ini, empat kes kematian akibat demam denggi berdarah dilaporkan di negeri ini, termasuk seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan anak sulung kembar Sabtu lalu.