Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU 14: Zahid gesa masyarakat India lupakan 'cerita lama'

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa masyarakat India untuk mengenepikan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan dan menyokong BN pada "hari besar" yang bakal menjelang.

Berucap pada majlis perayaan Thaipusam di Batu Caves, hari ini, beliau berkata kerajan telah menunjukkan komitmen yang berterusan bagi membantu masyarakat itu melalui pelbagai bantuan dan peruntukan.

"Dan dengan komitmen kerajaan ini, saya harap kita boleh tutup cerita lama. Masyarakat India tutup buku lama. Jika ada yang tak bersetuju (dengan kerajaan), lupakannya.

"Pada 'hari besar' yang akan datang, kita mesti menyokong BN dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak," katanya lagi.

Beliau membayangkan bantuan yang lebih besar menanti masyarakat India di negara ini, jika mereka terus memberikan sokongan kepada BN.

"Maka untuk mendapat bantuan lebih besar, caranya adalah dengan memberikan sokongan lebih kuat kepada kepimpinan Najib," katanya yang sebelum itu mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta bagi pembinaan kompleks budaya Kuil Subramaniyar Swamy di situ.

"Saya menjamin RM2 juta ini akan diluluskan dalam masa seminggu," katanya lagi.

Tahun lalu, Najib mengumumkan program besar untuk masyarakat India, melalui Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India Malaysia dengan jumlah peruntukan RM1 bilion bagi menangani masalah yang dihadapi mereka dalam soal sosioekonomi.

Terdahulu, pengerusi jawatankuasa kuil Batu Caves Tan Sri R Nadarajah meminta peruntukan tambahan bagi menyiapkan pembinaan komplek budaya kuil tersebut, dan berkata ia berpontensi sebagai tarikan pelancong.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mewujudkan jawatankuasa penasihat khas merangkumi pemimpin agama Hindu dari kuil seluruh negara bagi menangani masalah perobohan rumah ibadat itu.

Majlis sambutan tahunan ini dihadiri kira-kira 400,000 penganut Hindu. Turut hadir adalah bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri SK Devamany, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan.

Lihat Komen
ADS