Bajet BA: Tingkatkan kuasa membeli rakyat
Terjemahan Barisan pembangkang Barisan Alternatif (BA) mengumumkan laporan Bajet 2006 yang 'mesra rakyat' semalam. Antara lain, ia memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kuasa membeli rakyat.
Terjemahan Barisan pembangkang Barisan Alternatif (BA) mengumumkan laporan Bajet 2006 yang 'mesra rakyat' semalam. Antara lain, ia memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kuasa membeli rakyat.
Laporan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar di bangunan Parlimen.
Salah satu cadangan BA ialah melanjutkan pembekuan kenaikan harga petrol dan diesel, yang merupakan punca utama kenaikan kadar inflasi dan kos hidup.
Menurutnya, pemberian subsidi petrol amat bersesuaian dan perlu dikekalkan bagi mengekang inflasi kerana negara merupakan pengeksport minyak yang mendapat keuntungan daripada kenaikan harga bahan itu sekarang.
"... kerajaan juga mesti menimbangkan pelbagai lagi bentuk subsidi seperti subsidi pengecualian cukai dan kos yang ditanggung kerajaan untuk menyelamatkan syarikat korporat bermasalah," tambahnya.
Katanya, jika kerajaan bercadang menghentikan subsidi petrol dan diesel, maka ia hendaklah dilakukan selaras dengan peningkatan sistem pengangkutan awam dan memperkenalkan bahan bakar alternatif seperti biomas dan gas asli.
Beku kenaikan tol
BA juga mengemukakan cadangan lain, termasuk pembekuan kenaikan kadar bayaran tol dan kadar tarif bagi bekalan air dan elektrik.
"Pengswastaan sektor kemudahan awam menyebabkan kenaikan kadar tarif air dan elektrik. Dengan mengambilkira kekerapan gangguan bekalan tenaga, maka adalah bersesuaian sekali untuk membeku sebarang kenaikan tarif sehinggalah perkhidmatannya dipertingkatkan," kata Kamaruddin.
BA juga mencadangkan supaya cukai eksais kereta diturunkan sekurang-kurangnya 70 peratus kerana memiliki kereta bukanlah merupakan satu kemewahan tetapi kini sudah menjadi satu keperluan kerana pengangkutan awam yang tidak baik.
"Bagi melindungi industri kereta nasional, rakyat Malaysia dipaksa membayar lebih untuk membeli kereta import. Sudah 25 tahun industri kereta nasional wujud, sepatutnya ia sudah mampu bersaing dalam pasaran terbuka," katanya.
Cadangan lain termasuk bayaran minima RM2,000 atau bonus dua bulan setengah kepada kakitangan kerajaan, menghapuskan cukai jalan bagi kenderaan di bawah 1,500cc dan menyediakan kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.
Membanteras rasuah
Kamaruddin juga menyentuh mengenai keperluan untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi dayasaing ekonomi negara dan usaha membanteras rasuah.
Bagi memastikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) memainkan peranannya sebagai badan pemantau yang berkesan, beliau berkata, BPR mesti diselia oleh Parlimen.
Beliau juga menyentuh mengenai kurangnya inovasi dan peruntukan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
BA dianggotai oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sejak tahun 2000, BA mengeluarkan 'bajet alternatif' sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan, membentangkan bajet kerajaan di Parlimen./ Berita asal.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.