Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu KBKNS dah selesai, Budiman hero terlambat'
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 1:24 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) diminta tampil mengatur pertemuan terus dengan kerajaan negeri tanpa perlu menggunakan orang tengah berhubung isu penggunaan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor (KBKNS) di Seksyen 7 di sini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari berkata ini kerana kerajaan negeri telah menawarkan beberapa langkah penyelesaian bagi masalah tersebut termasuk penempatan di Teater Shah Alam serta kawasan yang bersesuaian dengan aktiviti terbabit.

Menurutnya, pengosongan tersebut bagi membolehkan kawasan itu ditumpukan untuk pembangunan sukan dan belia.

"Kami akan singkirkan MKNS, kerana kompleks itu sepenuhnya mahu digunakan bagi tujuan pembangunan sukan (Majlis Sukan Negeri) dan belia (Majlis Belia Negeri), pejabat pengurusan serta Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

"Perkara ini dah dijelaskan dalam Sidang Dewan Negeri yang lepas, namun beliau (anggota parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi) tak berikan maklum balas dan bangkitkan semula lepas beberapa bulan penerangan diberikan," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Ekoran daripada itu Amirudin menyifatkan Budiman sebagai "hero yang terlambat" kerana membangkitkan isu yang telah diselesaikan.

"Tak pasti dia tertidur atau tak hadir semasa saya menjawab persoalan yang dibangkitkan beliau menerusi sesi penggulungan.

"Beliau boleh datang dan tengok kompleks itu digunakan sepenuhnya.

"Jika MKNS nak guna tempat itu, jumpa saya dan tak perlu guna Budiman," katanya.

Malah Amirudin berkata jika Budiman mahu membawa perkara tersebut kepada Sultan itu terserah kepadanya.

"Jika Budiman mahu membawa isu tersebut kepada Sultan Selangor terserah kepadanya namun pihak kerajaan negeri telah membantu MKNS dalam penyelesaian permasalahan tersebut namun syor tersebut tidak diterima," katanya.

Pada 30 Januari lepas sekumpulan aktivis budaya Selangor bercadang untuk menghadap sultan untuk mengadukan masalah mereka yang didakwa gagal dibela kerajaan negeri.

Budiman berkata kumpulan terbabit sangat berharap hak mereka dapat dikembalikan kerana isu budaya amat rapat dengan jiwa Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Lihat Komen
ADS