Kuala Lumpur terbuka kepada sebarang cadangan selanjutnya dari Bangkok mengenai cara menyelesaikan isu 131 warga Thai yang melarikan diri ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, juga Menteri Pertahanan berkata, Kuala Lumpur boleh dihubungi pada bila-bila masa jika Bangkok ingin membincangkan perkara itu seterusnya, secara formal atau tidak formal.

"Saya boleh bercakap bagi pihak Kuala Lumpur...kami amat terbuka tentang sebarang pendekatan yang Bangkok inginkan dengan kita," katanya sewaktu sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama di "Forum Kepimpinan Asean100" di Singapura hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Luar Thailand Dr Surin Pitsuwan menyatakan bahawa pucuk pimpinan di Bangkok dan Kuala Lumpur belum mengadakan hubungan secara langsung bagi menyelesaikan isu di selatan Thailand.

Najib berkata, walaupun beliau setuju bahawa kedua-dua pihak "belum memanfaatkan peluang sedemikian" buat masa ini, namun saluran komunikasi menerusi pihak tentera sudah terbuka.

"Kami telah menghantar Panglima Angkatan Tentera ke Bangkok menemui rakan sejawatannya, kami bersetuju membenarkan pihak berkuasa Thai menginterbiu 131 yang menyeberangi sempadan, tetapi kami terbuka kepada langkah seterusnya yang Bangkok inginkan.

Jamin hubungan baik

"Jika Bangkok ingin berunding dengan kami secara tidak formal atau formal, jawapannya tentu sekali 'ya'," kata Najib.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Malaysia juga mahukan masalah itu selesai tetapi menegaskan, sebarang penyelesaian mestilah sesuatu yang mengambil kira sensitiviti kedua-dua belah pihak.

Menjawab soalan lain, Najib berkata, Malaysia perlu berhati-hati demi menjamin hubungan baik dengan Thailand.

"Bila 131 orang itu menyeberang masuk ke Malaysia, kami betul-betul berdepan dengan dilema.

"Terdapat bahaya yang isu itu mungkin dijadikan isu antarabangsa...dengan UNHCR (Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian) (masuk campur) yang saya percaya tidak begitu disenangi oleh pihak Thai," kata Najib.

Apa yang Malaysia telah lakukan, kata Najib, ialah mendapatkan pihak Thai sendiri menangani masalah itu.

"Khusus kepada 131 orang itu, jika terbukti ada militan dalam kumpulan itu, kerajaan Malaysia akan menyatakan pendiriannya. Tetapi jika mereka di sini hanya kerana takut untuk pulang, saya rasa apa yang perlu kita buat ialah memberikan mereka keyakinan...yang mereka akan selamat bila pulang. Kami ingin melihat ini berlaku," katanya.

Hak asasi manusia

Semalam, Najib dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan menyerahkan 131 warga selatan Thailand itu selagi tidak mendapat jaminan hak asasi mereka tidak akan dicabuli.

Menjawab soalan pada sidang berita kemudian, Najib berkata, Malaysia menyambut baik cadangan Perdana Menteri Thai untuk mengharamkan pemegangan dua kewarganegaraan kepada rakyatnya.

"Kami menyambut baik hal itu. Itu adalah perkara yang sekian lama tidak diselesaikan. Kami harap dapat bersetuju mengenai langkah seterusnya menyelesaikan masalah itu," katanya.

Katanya, kini terpulang kepada kedua-dua belah pihak untuk mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Sri Abdul Aziz Zainal berkata, pergolakan yang berlaku di Selatan Thailand telah mendorong pasukan tentera Malaysia mempertingkatkan lagi kawalan sempadan bagi membendung kemasukan pendatang tanpa izin dan menentukan

keselamatan negara terkawal daripada sebarang ancaman.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat (Inspeka)

di Port Dickson hari ini, beliau yakin usaha kerajaan Thailand akan dapat mententeramkan keadaan di kawasan yang bergolak itu dan Malaysia sedia memberi sokongan dan kerjasama untuk melihat keadaan aman semula.