PAS atur 31 ceramah bantah larangan polis
PAS menganjurkan 31 ceramah politik di seluruh Selangor malam ini dan disertai hampir semua anggota Dewan Rakyat parti itu dan Parti Keadilan Nasional sebagai membantah larangan polis sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun semua program itu tidak berjalan lancar akibat pelbagai gangguan polis, termasuk mengepung tempat ceramah, mengadakan sekatan jalan raya dan mengerahkan anggota keselamatan yang ramai dengan kerjasama kakitangan majlis perbandaran masing-masing.
Beberapa majlis ceramah terpaksa dipindah ke tempat berdekatan.
Ibu pejabat polis Bukit Aman dilaporkan minggu lalu mengeluarkan arahan kepada polis negeri dan daerah agar tidak membenarkan semua ceramah di tempat terbuka mulai awal Julai.
Beberapa pemimpin utama PAS, termasuk ahli jawatankuasa pusat Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Pemuda Salehuddin Ayub, ditahan beberapa jam kerana terlibat menyampaikan ceramah masing-masing di Negeri Sembilan dan Johor baru-baru ini.
Ketua Pembangkang, yang juga Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor dan Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual menyampaikan ceramah di Kampung Nakhoda, Gombak.
Bagaimanapun acara di tempat itu dibatalkan dan majlis ceramah diadakan di tempat berdekatan. Kira-kira 200 anggota polis dikerahkan ke tempat itu sejak awal malam.
Tinjauan malaysiakini kira-kira jam 11 malam tadi mendapati polis melarang ceramah di Subang dan Bangi. Penceramah sempat bercakap antara 10 hingga 15 minit sebelum acara itu ditamatkan.
Malaysiakini difahamkan PAS menasihatkan penceramah agar memberhentikan majlis jika diarah oleh polis.
Di Kuala Selangor, polis mengepung tempat ceramah.
Bagaimanapun di Serdang dan Ampang Jaya, penganjur berjaya mengadakan majlis itu selepas berpindah ke tempat lain. Perpindahan ini tidak sempat diumumkan lebih awal dan gagal menarik kehadiran ramai penyokong.
Setakat tengah malam, tiada tangkapan dan kejadian tidak diingini berlaku di semua tempat.
Ceramah-ceramah itu diatur di semua 17 kawasan parlimen di negeri itu. Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Hulu Langat masing-masing mengadakan tiga ceramah, sementara masing-masing dua di Gombak, Serdang, Shah Alam, Kapar, Klang dan Kuala Langat.

