Terjemahan Golongan rakyat yang tidak pernah dilupakan setiapkali kerajaan membentang bajet negara ialah para perokok. Ini kerana harga rokok akan naik setiapkali bajet dibentang di Dewan Rakyat.

Begitu juga dengan pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok, di mana harga rokok dijangka dinaikkan lagi berikutan kenaikan cukai ke atas tembakau.

Pada masa ini, desas-desus mengatakan harga rokok akan naik 100 peratus daripada RM6.50 kepada RM13. Manakala beberapa jurujual rokok menjangka harga baru rokok ialah antara RM7.50 hingga RM8.50.

Bagaimanapun, beberapa individu yang ditemui malaysiakini merasakan kenaikan harga rokok tidak akan memberi sebarang kesan kepada tabiat merokok di negara ini.

Satu gayahidup

Seorang pengarah syarikat pengeluar makanan, JS, dari Ampang berpendapat, tabiat merokok sudah menjadi gayahidup ramai orang. Oleh itu, kenaikan harganya tidak akan mengubah tabiat mereka.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa kenaikan harga akan menjejaskan penjualan rokok.

"Mereka akan menaikkan harganya....sehinggalah kita berhenti merokok suatu hari nanti... orang ramai yang akan terus menerus membayar 'harga' bagi tabiat tersebut," katanya.

Seorang eksekutif pemasaran dari Pulau Pinang, Andy Leong pula menyokong kenaikan harga rokok. Baginya, langkah tersebut akan menyekat remaja daripada terpengaruh dengan tabiat merokok.

"Mereka tidak akan mampu membeli walaupun bagi kotak kecil (kurang daripada 10 batang), apatah lagi untuk membeli kotak besar. Ini (kenaikan harga) akan menyekat mereka daripada memulakan tabia tersebut," kata Leong.

Bagi Leong, yang membeli rokok bebas cukai pada setiap dua minggu, berkata tabiat merokoknya tidak akan terjejas dengan kenaikan harga rokok.

"Paling tidakpun, saya akan kurangkan merokok," katanya.

Sementara itu, seorang perunding IT, Rahman, pula menjangka ramai yang akan mencari alternatif sekiranya harga rokok meningkat dengan banyak.

"Pada masa ini, lebih ramai perokok yang beralih membeli jenama yang lebih murah. Ramai juga yang membeli tembakau untuk digulung sendiri," katanya./ Berita asal.