Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasat guru bawah kesalahan bunuh'
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 12:38 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Susulan kematian M Vasantha Piriya semalam, Pemuda PKR Pulau Pinang menggesa polis menyiasat guru yang bertanggungjawab menuduh pelajar itu mencuri telefonnya di bawah kesalahan menyebabkan kematian.

Naib ketuanya A Kumaresan berkata, guru tersebut juga perlu ditahan segera untuk siasatan.

Katanya, tuduhan dan tindakan guru tersebut telah mendorong pelajar berusia 13 tahun itu untuk cuba membunuh dirinya.

"Selain membuat tuduhan, guru itu juga melakukan kesalahan membuli Vasantha dengan memberi tekanan emosi, termasuk mengurung dalam sebuah bilik dan mengugutnya.

"Ini adalah kesalahan besar. Polis harus bertindak adil dan membuka kertas siasatan seperti dalam kes melibatkan mendiang T Nhaveen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seksyen 302 berkaitan tuduhan bunuh yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Januari lalu, Vasantha cuba membunuh diri dengan menggantung diri dengan selendang di rumahnya, selepas dituduh mencuri iPhone milik gurunya.

Guru tersebut mengurung Vasantha dalam sebuah bilik untuk memaksanya mengaku perbuatan itu, dan kemudian menghantar remaja itu pulang ke rumah dan memberitahu ibu dan bapanya.

Percubaan bunuh diri itu gagal dan dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya. Dia akhirnya meninggal dunia di hospital itu pada jam 3.35 pagi semalam.

Kementerian Pelajaran sedang menyiasat kejadian itu dan guru tersebut dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah sementara menunggu siasatan.

Kes Nhaveen pula berlaku Jun tahun lalu, apabila pelajar berusia 18 tahun itu meninggal dunia selepas dirawat kira-kira seminggu di hospital, ekoran dipukul sekumpulan remaja.

"Kes ini harus disiasat dengan adil dan mereka yang mengakibatkan kematian pelajar (Vasantha) perlu dihukum setimpalnya," kata Kumaresan.
 

Lihat Komen
ADS