Eminem Talking antara 15 buku diharamkan
"Eminem Talking" karya Chuck Weiner adalah antara 15 buku termasuk 10 buku berbahasa Melayu yang diharamkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987 kerana dianggap memudaratkan moral.
"Eminem Talking" karya Chuck Weiner adalah antara 15 buku termasuk 10 buku berbahasa Melayu yang diharamkan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987 kerana dianggap memudaratkan moral.
Lima buku karya Puteri Izma atau nama sebenar Mohamad Abdul Hamid yang diterbitkan Progressive Publishing House Sdn Bhd dan Usnie Publisher adalah antara buku berbahasa Melayu yang diharamkan, menurut satu kenyataan KKDN semalam.
Buku karya Puteri Izma yang diharamkan bertajuk "Malam Pengantin Indahkah Malam Pengantin Anda Berdua?", "Air Mata Gadis", "Pengantin Remaja (Pelamin Impianku)", "Permata Baiduri I (Tujuh Formula Mengenal Gadis Masih Dara atau Tidak)" dan "Permata Baiduri II (Petua Merawat Semula Dara Yang Telah Hilang)".
Lima lagi buku berbahasa Melayu yang diharamkan ialah "IS3HOT" karya Deq Nan dan diterbitkan D LinX Publishers, "Permata SUKMA" oleh Rozai Sulaiman terbitan Mediakota, "Lesbian" karya Radzi Sayed terbitan AR Coomunication, "Korban Nafsu" karya A Hamid Osman terbitan Teguh Ringgit Publishing House dan "Rahsia Wanita" yang diterbitkan oleh Zzan Publication.
Tindakan undang-undang
Empat lagi buku ialah buku berbahasa Inggeris "The Price of Pleasure" karya Joan Elizabeth Llyod terbitan Kensington Publishing Corp, "The Bing Bang" karya Emma Taylor dan Lorelei Sharkey terbitan Penguin Group.
"The Vice Guide to Sex and Drugs and Rock and Roll" hasil karya Suroosh Alvi, Gavin McInnes dan Shane Smith terbitan Harper Collins Warner dan "The Lesbian Couples A Guide To Creating Healthy Relationships" karya D Merilee Clunis dan G Dorsey Green turut diharamkam.
KKDN berkata sesiapa yang didapati mencetak, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud boleh diambil tindakan undang-undang di bawah akta itu.
Mereka yang didapati melanggar peraturan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

