Rafidah sudah pulang dari Laos
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz pulang ke tanah air malam tadi dari Vientiane tetapi keberatan untuk bercakap dengan pemberita yang menunggu selama dua jam untuk mendapatkan komen beliau mengenai perkembangan terbaru berhubung kelulusan Permit Impoty (AP).
Apabila didesak pemberita, beliau berkata :"Di mana saya? Adakah saya pergi bercuti ke? Anda tahu saya datang dari mana bukan?".
Bernama melaporkan Rafidah sebagai berkata, semua orang tahu beliau berada di ibu negara Loas untuk menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean.
Kabinet pada mesyuaratnya semalam memutuskan bahawa Rafidah perlu menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk memberi penjelasan mengenai isu AP yang masih belum selesai sejak Mei lalu, apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan beberapa persoalan mengenainya.
Dr Mahathir telah mempersoalkan cara skim AP dilaksanakan, antara lain menyatakan ia hanya menguntungkan beberapa bumiputera dan sesetengah yang mendapat AP bukannya ahli perniagaan automotif.
Kabinet turut membincangkan rasa tidak puas hati anggota Parlimen berhubung pengeluaran senarai 337 nama bekas anggota dan anggota sedia ada Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang telah menerima AP.
Rafidah tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sejak persidangan sekarang bermula 19 Sept. Sebelum menghadiri mesyuarat Asean di Laos, beliau mengadakan misi perdagangan ke Amerika Syarikat.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now