Pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam esok sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama baik agama sekiranya pengurusan bandaraya itu tidak menepati kehendak Islam, kata Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Katanya, ini kerana agama Islam menitikberatkan pelbagai aspek yang perlu disempurnakan, termasuk kebersihan, kemudahan asas, keceriaan dan taraf hidup penduduknya.

"Bagaimana kalau ada orang luar datang dan bertanya inikah agama Islam yang kehendaki sekiranya didapati bekalan air tidak mencukupi, orang Islam mendiami rumah yang hampir roboh, dan sampah merata tempat," katanya kepada Bernama semalam, ketika diminta mengulas tentang majlis pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam yang akan disempurnakan Sultan Kelantan esok.

Dr Abdul Hamid berkata, bandaraya Alor Star di Kedah adalah lebih baik dalam beberapa aspek berbanding dengan Kota Bharu, tetapi ia tidak mempunyai sebarang cadangan untuk mengisytihar diri sebagai bandaraya Islam.

Beliau berkata, Islam tidak mementingkan pada nama kerana ia boleh mengelirukan orang awam, dan apa yang diperlukan ialah pihak berkuasa sesebuah bandar itu dapat menyediakan bekalan makanan yang cukup, rakyat yang sihat dan tiada huru-hara.

Terdahulu Dr Abdul Hamid telah merasmikan Seminar Pendedahan Islam Hadhari peringkat negeri di Machang, Kelantan, yang dihadiri lebih 370 peserta yang terdiri penyelia penggerak masyarakat dan guru-guru fardu Ain (Kafa).