Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaga-jaga, Zamihan nak buat 'free kick' pada Wahabi
Diterbitkan:  Feb 6, 2018 2:15 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Dilihat aktif menyertai perlawanan bola sepak akhir-akhir ini Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin menggunakan analogi sukan itu untuk memerangi fahaman Wahabi, Syiah dan liberalisme.

Menurut kenyataan dibuatnya untuk "memenangkan" kumpulan Ahli Sunnah wal Jamaah apa yang diperlukan ialah semangat berpasukan - sama seperti sesebuah skuad bola sepak.

Namun katanya pada ketika tertentu kemahiran individu juga harus dipentingkan untuk mencuri bola, menggelecek sebelum menjaringkan gol.

"Selain itu, penyerang juga harus bijak mencari ruang penalti dan free kick (tendangan bebas) ke arah lawan," katanya yang memang terkenal sebagai tokoh lantang membuat dakwaan berkaitan fahaman Wahabi serta Syiah di negara ini.

Antara tokoh yang masih menjadi sasarannnya ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Rozaimi Ramle.

Gelecek penjaga gol

Kedua-dua mereka didakwa Zamihan mengikut fahaman Wahabi.

Meneruskan penerangannya mengenai bola sepak dan seterunya Zamihan membayangkan ada langkah baru akan diambil ke atas kumpulan yang digelarkannya Wahabi itu.

"Minggu depan insya-Allah, Ustaz Zamihan akan melakukan free kick yang cantik ke atas tokoh Wahhabi!" katanya lagi.


Baca: Nur Jazlan mahu Zamihan senyap


Sementara itu Zamihan juga sempat menceritakan kehebatannya sebagai pemain bola sepak.

Dalam perlawanan menentang skuad Crown Beverage Bangi, Zamihan berjaya menjaringkan empat daripada lapan gol bagi pasukan, Veteran Penjara Selangor.

Jaringan itu, ceritanya lagi, dibuat walaupun dia tiba di padang agak lewat.

"Minggu lepas dapat menewaskan team Veteran PDRM Kuala Lumpur di Stadium Penjara Kajang 3-1.

"Ustaz berjaya menggelecek dua pertahanan lawan dan penjaga gol untuk menghadiahkan satu gol kepada pasukannya Veteran Penjara Selangor.

"Naluri striker sudah sebati dengan Ust Zamihan sama ada di atas padang atau pentas pemikiran kontemporari," katanya.

Lihat Komen
ADS