Bukit Aman edar gambar suami Indira
Polis hari ini menegaskan bahawa usaha untuk mencari Muhammad Riduan Abdullah, yang dilaporkan masih gagal memulangkan anaknya kepada bekas isterinya, M Indira Gandhi, tidak pernah terhenti.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, sejak diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh empat tahun lalu, pelbagai langkah telah diambil untuk mengesan Riduan, termasuk meminta bantuan orang ramai mengesan kedua-dua beranak itu.
Polis juga hari ini buat pertama kali mengedarkan gambar Muhammad Riduan dan mengulangi gesaan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun supaya orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes "sensitif" itu agar tidak menjejaskan ketenteraman awam.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menerus memainkan isu ini dengan apa jua cara yang boleh mewujudkan ketegangan di dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara ini.
“Sekali lagi pihak polis merayu anggota masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat mengenai bekas suami dan anak M Indira Gandhi untuk tampil memberikan kerjasama mereka,” katanya.

