Usaha dapatkan rekod bank syarikat berkaitan Taib gagal
Mahkamah Atasan Ontario, Kanada menolak permohonan NGO Switzerland Bruno Manser Funds (BMF) untuk mendapatkan akses terhadap rekod-rekod bank Sakto Corporation yang dikaitkan dengan Tun Taib Mahmud.
BMF dalam kenyataannya berkata hakim Sean F Dunphy pada Isnin lalu memutuskan NGO itu “meminta lebih daripada kuasa polis” dan kes itu “membawa kita ke arah yang tidak diketahui”.
Pengarah NGO itu Lukas Straumann (bawah) berkata hakim menolak kes itu secara ketat terhadap hujah undang-undang dan menahan diri daripada mengulas fakta-faktanya.

Sakto diasaskan oleh Jamilah, anak sulung Taib, yang dipertuan negeri dan bekas ketua menteri Sarawak.
Dalam tempoh 10 tahun terakhir, BMF telah menjalankan kempen global menuduh anggota keluarga Taib, membuat untung di luar negara melalui jaringan rumit harta tanah melibatkan Sakto.
BMF telah menyaman Royal Bank of Canada, Toronto-Dominion Bank, Manulife Financial Corporation dan Deloitte Touche Tohmatsu bagi memaksa mereka mendedahkan maklumat pemunyaan benefisial dan rekod-rekod meragukan berkaitan aliran dana dari Malaysia kepada Sakto.
“Kami kesal dengan keputusan ini dan akan meneliti beberapa kaedah untuk melengkapkan bukti kami berkaitan kegiatan perniagaan anggota keluarga Taib (bawah),” kata Straumann.

Sementara itu, peguam Sakto, Duncan Fraser berkata mahkamah menegaskan bahawa undang-undang Kanada tidak membenarkan “kumpulan warga vigilante (yang meletakkan undang-undang di tangan sendiri)” mendapat akses kepada rekod-rekod peribadi apabila tiada bukti sebarang kesalahan jenayah dilakukan.
Sakto, syarikat harta tanah yang berpangkalan di Ottawa, itu berkata mereka telah bertahun-tahun berjaya mendepani serangan “tidak berasas” BMF, yang turut memfailkan aduan dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat, polis British dan beberapa pihak berkuasa Kanada.
“(Mereka) semua telah berulang kali tolak tuntutan BMF,” kata Sakto.
Syarikat itu berkata mahkamah memerintahkan kos C$100,000 (RM312,185) dibayar kepada mereka.
“Sakto adalah perniagaan keluarga Kanada dan beroperasi dengan piawai etika tertinggi serta patuh sepenuhnya terhadap undang-undang negara itu.
“Dengan keputusan ini, perkara ini dianggap telah ditutup,” kata syarikat itu.
[Baca berita asal]

