Sekarang Kamalanathan kata guru boleh bawa telefon
Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk P Kamalanathan menjelaskan guru dibenarkan membawa telefon ke dalam kawasan sekolah.
Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan laporan Utusan Malaysia semalam bahawa guru tidak dibenarkan membawa dan menggunakan telefon bimbit dalam bilik darjah, namun boleh disimpan di pejabat atau bilik guru.
Kamalanathan dalam kenyataannya hari ini berkata penggunaan atas urusan persendirian sahaja tidak patut dan penggunannya juga tidak boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
"Guru-guru boleh menggunakan peranti mereka sebagai salah satu bahadan dalam PdPC (pembelajaran dan pemudahcaraan) yang membantu dari segi pendidikan abad ke-21," katanya.
Laporan Utusan semalam menyebut “larangan” itu sebagai prosedur oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam kejadian 22 Januari lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Nibong Tebal cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru di sekolah.
Kenyataan Kamalanathan hari ini juga dibuat selepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini memohon penjelasan lanjut Kementerian Pendidikan berhubung larangan yang dilaporkan Utusan.
Setiausaha agungnya Harry Tan Huat berkata profesion perguruan kini memasuki abad ke-21 dan kebanyakan alat bantu mengajar menjurus ke arah penggunaan telefon bimbit.
Malah, katanya, kerajaan sendiri telah mengagihkan telefon bimbit YES kepada semua guru di negara ini untuk meningkatkan kaedah pengajaran guru serta pembelajaran murid.

