Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR dedah 'bukti' manipulasi undi di Permatang Pauh

PKR hari ini mendedahkan rakaman suara bagi membuktikan dakwaan manipulasi undi awal polis di Permatang Pauh yang disandang presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Afif Bahardin berkata rakaman itu dikirimkan kepadanya dan pemberi maklumat mendakwa melibatkan seorang pemimpin sebuah parti politik.

Mengikut transkrip rakaman audio yang diedarkan oleh PKR, rakaman itu berbunyi:

"Semua gerak kerja sulit ini tuan-tuan yang dibuat di peringkat-peringkat tertinggi, yang ramai ketua bahagian pun tak tau, ramai ketua pun tak tau. Saya pun tak tau tuan-tuan, saya bagi tahu. Tuan-tuan rahsia ini, yang kita mendapat pengundi-pengundi bonus, kita jangan cerita kat siapa pun.

“Kita mendapat pengundi-pengundi bonus, 800 lebih pengundi polis daripada sebelah Tanjung, yang sebelah dekat Datuk Keramat itu, yang sebelah Penang Road itu yang dipindahkan secara sulit ke Permatang Pauh. (tepuk tangan)

“Mereka bertugas di IPD (ibu pejabat polis daerah), mereka bertugas di IPK (ibu pejabat kontinjen), mereka akan mengundi di Permatang Pauh. Kita strategi benda-benda yang diatur oleh benda-benda teknikal ni kadang-kadang kita tak boleh cerita ke semua orang.

“Tuan-tuan sebagai ketua cawangan, ketua pemuda, ketua wanita, setiausaha cawangan yang terpilih ini. Saya bagi tahu ini sebab saya mahu menanam keyakinan dalam diri."

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas pemimpin itu serta partinya.

Sementara itu, Afif mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis memberi penjelasan segera mengenai pendakwaan ini.

"Kami juga akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang penipuan seperti ini daripada terus dilakukan," katanya.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata SPR selalunya akan menafikan berlakunya isu manipulasi pilihan raya yang didedahkan oleh pembangkang.

Beliau mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasukkan isu manipulasi pilihan raya sebagai kesalahan rasuah dan menyiasat tuduhan tersebut.

Lihat Komen
ADS