Bajet 2006: Langkah segera untuk manfaat rakyat
Perancangan untuk pembangunan dalam Bajet 2006 mengandungi beberapa langkah segera dan khusus untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Perancangan untuk pembangunan dalam Bajet 2006 mengandungi beberapa langkah segera dan khusus untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Ia bertujuan menjana pertumbuhan berkualiti dalam jangka masa terdekat bagi menyediakan landasan kukuh untuk pertumbuhan berterusan dalam jangka masa panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika membentangkan bajet bertemakan "Membina Ketahanan, Menghadapi Cabaran" di Dewan Rakyat hari ini, beliau menghuraikan strategi untuk menghadapi perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu, berikutan kenaikan mendadak harga minyak, kadar faedah yang kian meningkat serta persaingan global yang semakin sengit.
Berikutan itu, kerajaan akan mengeluarkan belanja yang lebih untuk keselesaan hidup rakyat dan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mempercepatkan lagi kemajuan ekonomi negara.
Kerajaan memperuntukkan RM136.8 bilion untuk tahun depan, naik 5 peratus dari tahun ini RM101.3 bilion belanja mengurus dan RM35.5 bilion untuk pembangunan, lebih 13 peratus dari tahun ini.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata selaras dengan sasaran mengurangkan defisit bajet kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan daripada 5.6 peratus pada 2002, kerajaan mempunyai lebih ruang untuk memberi tumpuan terhadap usaha pembangunan untuk mengekalkan pertumbuhan Malaysia.
Empat strategi
Ketika menghuraikan perancangan kerajaan untuk kepentingan rakyat bagi 2006, yang merupakan tahun pertama bagi tempoh pelaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), beliau berkata Bajet 2006 mengandungi empat strategi utama, iaitu;
Melaksanakan langkah proaktif kerajaan ke arah memesatkan kegiatan ekonomi;
Menyediakan persekitaran mesra perniagaan;
Membangunkan modal insan; dan,
Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup.
Mengenai pembangunan infrastruktur fizikal khususnya di luar bandar, Abdullah berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan khusus terhadap kemajuan ekonomi luar bandar selaras dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Menurut laporan Bernama, penduduk luar bandar akan menikmati secukupnya jalan, bekalan air dan tenaga elektrik serta kemudahan pendidikan lebih baik menerusi peruntukan RM5.7 bilion.
Beri bonus
Katanya Kerajaan prihatin terhadap keluhan orang ramai mengenai kemudahan infrastruktur asas yang tidak mencukupi dan kurang sempurna terutama di kawasan luar bandar.
"Malahan, saya rasa sedih dengan peristiwa kemalangan maut yang dilapor melibatkan murid sekolah semasa menyeberangi jambatan usang. Peristiwa sebegini tidak harus berlaku di sebuah negara yang memiliki infrastruktur kelas pertama," kata Perdana Menteri.
Beliau meminta Anggota Parlimen dan Pegawai Pembangunan Negeri serta Pegawai Daerah untuk mengenal pasti dan menyediakan senarai projek infrastruktur asas seperti jambatan kecil yang diperlukan segera di setiap kawasan Parlimen, kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, sebelum akhir November ini untuk dilaksanakan.
Untuk memastikan projek ini disiapkan segera, kontraktor tempatan di kawasan masing-masing terutamanya kontraktor Bumiputera, akan dilantik melaksanakannya.
Abdullah tidak lupa kepada sumbangan 1.2 juta kakitangan awam dalam memenuhi matlamat negara, dan menghadiahkan kepada mereka bonus, yang akan dibayar dalam dua bayaran iaitu pada Oktober dan November bagi membantu mereka menampung perbelanjaan tambahan menjelang hari-hari perayaan pada penghujung tahun ini serta untuk anak-anak mula bersekolah pada awal tahun depan.
Mereka yang berpendapatan sehingga RM1,000 sebulan menerima satu setengah bulan bonus dan mereka yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan dibayar sebulan bonus atau minimam RM1,500.
Di samping itu, kerajaan juga membuat bayaran istimewa RM200 kepada para pesara pada bulan Oktober October 2005.
Insentif rawat pesakit tibi
Memandangkan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan akan memberi bantuan kos sara hidup RM150 sebulan kepada anggota perkhidamtan awam dalam Gred 1 hingga Gred 54, kecuali mereka yang mendiami kuarters atau yang menerima elaun wilayah, di Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Baharu,
George Town dan Butterworth.
Mereka yang bekerja di 26 bandar lain akan menerima RM100 sebulan manakala mereka yang bekerja di kawasan lain akan diberi RM50 sebulan. Pelaksanaan bantuan ini akan bermula 1 Jan 2006.
Abdullah juga mengumumkan beberapa elaun sedia ada diperbaiki dan diperluaskan, tambahan elaun penyelia Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) kepada RM750 sebulan daripada RM500, dan menetapkan elaun guru KAFA pada RM500 sebulan (daripada RM288 sebulan di Semenanjung Malaysia dan RM336 di Sabah dan Sarawak).
Beliau juga mengumumkan bayaran insentif merawat pesakit tibi dan kusta sebanyak RM60 sebulan akan dipanjangkan kepada juruteknologi makmal dan perubatan, pembantu makmal perubatan dan atendan kesihatan yang bertugas di makmal Pusat Tibi Negara dan makmal Pusat Kusta Negara, manakala bayaran insentif RM100 kepada petugas di bilik mayat yang telah diberi kepada atendan kesihatan, akan dipanjangkan kepada petugas pembantu perubatan dan pembantu atendan kesihatan yang bekerja di bilik mayat.
Abdullah memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan daripada pembayaran bonus dan kenaikan elaun anggota perkhidmatam awam dengan menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan.
Kerajaan, katanya, akan mengambil langkah tambahan untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa musim perayaan antara Oktober ini dan Februari tahun depan.
Cukai rokok naik
Seperti yang dijangkakan, cukai bagi rokok dan produk tembakau lain serta minuman keras dinaikkan.
Sambil menegaskan bahawa infrastruktur fizikal negara perlu disediakan dan dipertingkatkan, tumpuan akan diberi ke arah mengoptimumkan penggunaan kemudahan berkenaan
Oleh itu, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap infrastruktur isian yang termasuk modal insan, sistem pengurusan dan pentadbiran serta budaya menyenggara.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan khas RM1 bilion bagi menyenggara kemudahan awam sebagai tambahan kepada RM4.3 bilion yang disediakan kepada agensi-agensi kerajaan.
Abdullah juga berkata selaras dengan dengan usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan, badan berkanun bersumber kewangan sendiri akan dibenar menentukan skim perkhidmatan mereka bagi membolehkan mereka merancang dan menguruskan tenaga kerjanya serta menambah produktiviti organisasi.
Badan-badan berkanun yang dikenal pasti adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, SOCSO dan Bank Simpanan Nasional. Kumpulan Wang Amanah Pencen juga akan dijadikan badan berkanun dan diberi fleksibiliti yang sama.
Abdullah berkata, satu aspek yang sering menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek ialah kelewatan pengeluaran sub-waran daripada kementerian kepada agensi-agensinya.
Katanya, kelewatan pengeluaran ini perlu dielak dan oleh itu, semua kementerian dikehendaki mengeluarkan sub-waran yang memberi kuasa berbelanja kepada agensi pelaksana di bawah bidang kuasa mereka selewat-lewatnya sebelum penghujung Mac setiap tahun.
"Jemaah Menteri akan memantau perkara ini dengan rapi," kata Perdana Menteri.
Bayaran guna kad kredit
Abdullah juga mengumumkan bahawa kad kredit boleh digunakan di kaunter dan sistem bayaran secara online untuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, KWSP dan hospital kerajaan sebagai satu kemudahan dalam urusan antara orang ramai dan agensi kerajaan.
Menurutnya, kerajaan juga bercadang memberikan keringanan kepada syarikat-syarikat dalam sesuatu kumpulan, yang mempunyai pemilikan minimum 70 peratus di kalangan mereka, memandangkan penglibatan dalam projek berisiko tinggi seperti pengeluaran makanan dan bioteknologi memerlukan modal awal yang besar dan kerugian mungkin berlaku di peringkat awal.
"Kerugian seperti ini boleh menyebabkan syarikat enggan membuat pelaburan sedemikian yang secara jangka panjangnya membawa manfaat," katanya.
Abdullah turut mengumumkan insentif cukai bagi Koridor Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing), Sabah, Sarawak dan Labuan akan dilanjutkan lima tahun lagi sehingga 31 Disember 2010, kerana beberapa kawasan itu belum dimajukan.
Bina rumah kos rendah
Insentif untuk sektor swasta juga termasuk bagi menggalakkan pemaju membina rumah kos rendah dengan membenarkan jangkaan kerugian membina rumah kos rendah dibenarkan ditolak daripada anggaran keuntungan daripada projek pembangunan hartanah yang lain bagi tujuan perkiraan cukai.
Abdullah berkata untuk menyediakan barisan pengurus dan pengarah syarikat yang berwibawa terutamanya untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Akademi Kepimpinan Pengurusan dan Pengarah akan ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan.
Bagi memodenkan sektor pertanian pula, kerajaan memperuntukkan RM2.8 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan manakala Jabatan Pertanian akan disusun semula dan Pejabat Konsular Pertanian dibuka di luar negara untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia.
Sebanyak RM300 juta diperuntukkan kepada Tabung Makanan supaya pembiayaan mencukupi disediakan bagi industri pengeluaran makanan, sebahagian besarnya untuk kegiatan pengkomersialan keluaran makanan, termasuk pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran.
Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal RM500 juta untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.