Bonus sebulan setengah dan bayaran Cola antara RM50-RM150
Kakitangan awam akan diberi bonus sebulan gaji atau sebulan setengah gaji manakala bantuan sara hidup (Cola) antara RM50 dan RM150.
Kakitangan awam akan diberi bonus sebulan gaji atau sebulan setengah gaji manakala bantuan sara hidup (Cola) antara RM50 dan RM150.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2006 di Dewan Rakyat hari ini berkata bayaran bonus bagi tahun ini akan dibuat dalam dua bayaran iaitu pada bulan depan dan November manakala Cola akan dibayar mulai 1 Januari tahun depan.
Untuk kakitangan awam yang berpendapatan sehingga RM1,000 sebulan, mereka akan diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Mereka yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan, bonus bersamaan satu bulan gaji akan dibayar tertakluk kepada bonus minimum RM1,500.
Bagi membantu lagi kakitangan kerajaan menampung perbelanjaan tambahan menjelang hari-hari perayaan pada penghujung tahun ini serta perbelanjaan untuk anak-anak mula bersekolah pada awal tahun depan, bonus akan dibayar dalam dua bayaran.
Di samping itu, pesara kerajaan akan diberi bayaran khas sebanyak RM200 pada bulan depan.
Kos sara hidup
Memandangkan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan akan memberi bantuan sara hidup (Cola) kepada kakitangan perkhidmatan awam dalam Gred 1 hingga Gred 54 kecuali mereka yang mendiami kuarters atau yang menerima elaun wilayah.
Bantuan sara hidup itu ialah RM150 sebulan bagi mereka yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang jaya, Kajang, Kelang, Selayang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Baharu, Georgetown dan Butterworth.
Menurut laporan Bernama, sebanyak RM100 sebulan bagi mereka yang berkhidmat di 26 bandar lain dan RM50 sebulan bagi mereka yang bertugas di kawasan lain.
Bagaimanapun, bajet itu tidak menyenaraikan nama 26 bandar lain dan kawasan lain.
Di samping bonus dan Cola, elaun sedia ada juga diperbaiki dan diperluaskan lagi seperti berikut:
* Imbuhan Tetap Khidmat Awam gred 41 dan 42 serta pensyarah gred 45 ditetapkan kepada RM300 sebulan.
* Elaun penyelia kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan daripada RM500 sebulan kepada RM750 sebulan.
* Elaun guru KAFA ditetapkan sebanyak RM500 sebulan berbanding sebelum ini elaun maksimum bagi Semenanjung Malaysia RM288 sebulan dan bagi Sabah dan Sarawak RMN336 sebulan.
* Bayaran insentif merawat pesakit tibi dan kusta sebanyak RM60 sebulan akan dipanjangkan kepada juruteknologi makmal dan perubatan, pembantu makmal perubatan dan atendan kesihatan yang bertugas di makmal Pusat Tibi Negara dan makmal Pusat Kusta Negara, dan
* Bayaran insentif RM100 kepada petugas di bilik mayat yang telah diberi kepada atendan kesihatan akan dipanjangkan kepada petugas pembantu perubatan dan pembantu atendan kesihatan yang bekerja di bilik mayat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.