Nilai faedah bagi setiap pilihan saham daripada Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) akan ditentukan berdasarkan kepada perbezaan antara harga pasaran pada tarikh ia dilaksanakan dengan harga terdiskaun yang ditawarkan oleh majikan.

Ini bagi memastikan faedah yang diperolehi oleh pekerja daripada ESOS tidak dikurangkan sekiranya harga saham berada dalam aliran menurun.

Bagaimanapun, manfaatkan itu dikenakan cukai pada tahun opsyen dilaksanakan, demikian menurut lampiran yang disertakan bersama ucapan Bajet 2006.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Bajet 2006 di Parlimen hari ini.

Manfaat daripada ESOS berkuatkuasa daripada tahun taksiran 2006.

Ketika ini, manfaat yang diperolehi pekerja daripada ESOS dalam bentuk saham yang ditawarkan pada harga terdiskaun dianggap sebagai pendapatan kasar dan tertakluk kepada cukai pendapatan.

Bagi tujuan pendapatan cukai, nilai manfaat daripada setiap saham ditentukan berdasarkan perbezaan antara harga saham di pasaran pada tarikh tawaran dengan harga diskaun yang ditawarkan oleh majikan kepada pekerja.

Nilai manfaat ini tidak mengambil kira harga saham pada tarikh opsyen dilaksanakan.

Bagaimanapun, jumlah cukai kena bayar adalah berdasarkan kiraan cukai pada tahun tawaran dibuat.

Justeru, pekerja tidak digalakkan melaksanakan opsyen jika harga saham menurun serta melibatkan pelarasan cukai pendapatan bagi tahun ESOS ditawarkan.