Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa siasatan Felda ditubuhkan
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 5:56 AM
Dikemaskini: Feb 9, 2018 1:20 AM

Felda menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk melakukan semakan perundangan ke atas dakwaan berlakunya penipuan dalam projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) berdasarkan laporan audit forensik ke atas transaksi dan rekod berkaitan projek itu pada 2014.

“Laporan forensik audit menunjukkan berlakunya penipuan,” kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Keputusan penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan Jawatankuasa "Domestic Enquiry" bagi mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor dalam laporan audit forensik projek KLVC.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan semalam berkata laporan audit forensik yang dijalankan terhadap projek KLVC menunjukkan terdapatnya ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan Felda.

“Jawatankuasa Siasatan Lembaga Felda ini akan dianggotai Ahli Lembaga Felda dan dipengerusikan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Jawatankuasa ini juga dibantu oleh sebuah firma undang-undang yang akan dilantik oleh Felda untuk melakukan semakan perundangan berdasarkan laporan audit forensik yang telah disiapkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di ibunegara malam tadi.

Beliau turut menetapkan tempoh tiga bulan bermula malam tadi untuk jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan atau semakan perundangan tersebut sebelum menyerahkan laporan lengkap kepada Lembaga Felda.

“Selepas itu barulah tindakan akan diambil ke atas pegawai-pegawai Felda dan juga FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd), ” katanya.

"Tugas jawatankuasa siasatan itu merangkumi pengurusan Felda dan FIC. Kita lihat sejauh mana Ahli Lembaga Felda dan FIC (pada tahun 2014) terbabit dan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Shahrir bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus nama ahli lembaga yang terlibat dan hanya berkata “Bila kita kata (ahli) lembaga Felda dan FIC, termasuklah sekali dengan pengerusi”.

Ditanya tindakan yang boleh diambil ke atas pegawai Felda dan FIC, Shahrir berkata mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan pemecatan dan potongan gaji.

“Bagi yang tidak lagi berkhidmat dengan Felda atau FIC, tindakan sivil boleh diambil ke atas mereka,” katanya.

JPM dalam kenyataan semalam berkata Felda telah diarahkan mengambil tindakan tatatertib dan tindakan undang-undang terhadap mereka yang cuai dalam menjaga kepentingan agensi kerajaan itu dan sayap pelaburannya, FIC.


Baca: KLVC: Felda diarah bertindak terhadap pihak cuai


KLVC adalah projek yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) di kawasan tanah milik Felda, di Jalan Semarak. di sini.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan firma audit yang dilantik melakukan audit forensik terhadap projek berkenaan telah menyerahkan laporan akhir kepada JPM pada 2 Feb lepas.

JPM pula membentangkan laporan itu kepada perdana menteri selaku menteri bertanggungjawab ke atas Felda, pada 5 Feb.

Ditanya mengenai dakwaan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli bahawa tanah Felda di Jalan Semarak masih milik pemaju, Shahrir berkata ketika ini tanah-tanah berkenaan masih di bawah kaveat pendaftar.


Baca: Tanah Felda Jalan Semarak masih milik pemaju, dakwa Rafizi


"Tanah itu tidak boleh dilakukan sebarang urusan termasuk didaftarkan kembali kepada Felda selagi adanya kaveat pendaftar. Kaveat pendaftar itu ialah cara untuk melindungi kepentingan Felda.

"Apabila Felda membuat laporan polis pada 26 Dis, (tanah itu) diletakkan kaveat pendaftar. Jadi selagi tidak diangkat kaveat pendaftar itu atau dibatalkan kaveat pendaftar itu, sebarang urusan tidak boleh dilakukan ke atas tanah berkenaan termasuklah pendaftaran milik balik kepada Felda,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Felda yakin akan mendapat kembali tanah itu.

"Dalam mana-mana proses pindah milik, ia perlu dilakukan melalui resolusi lembaga pengarah (pemaju). Jadi, sebagai syarikat, nama tanah itu dalam nama syarikat.

"Untuk syarikat itu pindah milik balik (tanah) kepada Felda, syarikat kena buat resolusi lembaga pengarah dan tandatangan. Kedua, kena ditandatangani dan juga diletakkan cop mohor kepada borang 14A. Jadi dua dokumen itu berada dengan Felda," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS