Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasulullah juga berbaiah, kata pemimpin PAS
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 11:36 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh mahu pihak-pihak yang mempertikaikan bahawa baiah memberi kesan buruk melihat kembali sejarah Rasulullah SAW.

Katanya, baiah adalah satu perbuatan sunah Rasulullah yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali ketika baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, kedua dan Baiatul Ridhwan.

“Jangan pula ada pihak yang kata baiah itu suatu yang ekstrem kerana Rasulullah juga berbaiah dalam perjuangan menegakkan Islam,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Menurutnya, baiah diikat supaya orang Islam ada satu sikap patuh dan taat dalam urusan memimpin manusia.

“Tak akan ada yang selamat kerana melanggar baiah. Sehari dua ini kita lihat ada individu yang dilucutkan gelaran dan pangkat mereka.

“Allah telah menyusun laknat kepada mereka yang langgar baiah. Bukan kita yang jatuhkan hukuman kepada mereka tetapi janji Allah itu pasti,” katanya lagi yang dipetik akhbar itu.

Malah Nik Muhammad berkata hanya mereka yang istiqamah dan bersabar dengan ujian besar sahaja akan kekal dalam perjuangan Islam.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dilaporkan berkata wakil rakyat yang melafazkan baiah PAS terutama melibatkan talak isteri, berdepan risiko kerana sumpah itu akan memakan dirinya sendiri apabila tidak lagi bergelar pemimpin parti itu.

Mengulas perkara tersebut Nik Muhammad Zawawi berkata, tidak ada paksaan untuk berbaiah dalam PAS jika individu berkenaan tidak menjadi calon dalam pilihan raya.

Selain itu katanya tindakan meninggalkan parti tetapi tidak melepaskan jawatan juga dilihat sebagai tidak profesional.

“Dalam PAS, hasil yang diterima oleh individu bergelar wakil rakyat adalah haram apabila mereka melanggar baiah.

"Mereka perlu tahu penyokong PAS tidak akan menghalalkannya kerana sokongan dan undi yang diterima itu adalah daripada pengundi atau ahli PAS yang menyokong perjuangan Islam yang dibawa parti ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS