RM2.1 bilion bina rumah golongan pendapatan rendah
Kerajaan akan menyediakan RM2.1 bilion untuk pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kerajaan akan menyediakan RM2.1 bilion untuk pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM1 bilion diperuntukkan bagi menyediakan 21,600 unit rumah kos rendah yang meliputi Program Perumahan Rakyat Dimiliki, Program Perumahan Rakyat Disewa serta Program Perumahan Rakyat Bersepadu.
Sebanyak RM1.1 bilion akan diperuntukkan bagi menyediakan 26,000 unit kuarters dalam tahun 2006 untuk guru dan anggota beruniform seperti tentera, polis, bomba dan kastam, kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Bajet 2006 di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan juga akan melaksanakan projek kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai tiga bilik di seluruh negara bernilai RM2.5 bilion.
Projek itu akan dibiayai mengikut kaedah bina-sewa-pindah dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera, khasnya kontraktor kecil setempat, katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah juga berkata usaha menggalakkan penggunaan sistem binaan susun-cantum (IBS) akan diteruskan agar objektif mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja kurang mahir serta pekerja asing dapat dicapai.
"Dalam bajet ini, saya mencadangkan perbelanjaan modal ke atas pembelian acuan untuk pengeluar komponen IBS diberi elaun modal dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Beliau berkata langkah itu akan dapat mengurangkan kos komponen binaan seperti tiang, rasuk dinding dan lantai.
Katanya kerajaan akan memastikan komponan IBS yang digunakan mematuhi Piawaian Malaysia MS1064 untuk jaminan kualiti dan kawalan kos pembinaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.