Mawi ke Kelantan untuk balas jasa peminat
Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi berkata kedatangannya ke Kelantan adalah semata-mata untuk memenuhi jemputan kerajaan negeri untuk mengadakan persembahan selain membalas jasa peminatnya di negeri ini.
Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi berkata kedatangannya ke Kelantan adalah semata-mata untuk memenuhi jemputan kerajaan negeri untuk mengadakan persembahan selain membalas jasa peminatnya di negeri ini.
Mawi, 24, berkata walaupun jemputan yang diterimanya untuk mengadakan persembahan di Kelantan itu menimbulkan kontroversi, namun beliau mengambil sikap untuk tidak membiarkan sebarang tekanan menghantui dirinya.
"Kalau difikirkan, memang rasa tertekan, jadi tak payah fikir banyak-banyak. Kita jalan terus...tenang saja," katanya pada sidang media bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasmi menteri besar di JKR 10, di Kota Bharu hari ini.
Mawi yang dijemput khas kerajaan Kelantan untuk mengadakan konsert sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) sebagai Bandar Raya Islam berkata beliau juga tidak pernah terfikir untuk menarik diri daripada membuat persembahan di negeri yang diperintah kerajaan PAS itu.
Beliau juga dilihat agak berhati-hati ketika diminta mengulas kehadirannya di Kelantan yang dikaitkan dengan isu politik.
"Saya ni baru sebulan belajar menyanyi. Bila datang cerita-cerita politik, saya sebenarnya malas nak fikir benda-benda ni. Saya menyanyi sebab nak cari makan. Itu kerja dan tanggungjawab saya sebagai penyanyi. Nak tolong mak, ayah saya. Itu saja," katanya.
Menurut laporan Bernama, Mawi berkata, beliau agak terperanjat ketika mendapat jemputan untuk mengadakan konsert di Kelantan tetapi gembira untuk mengadakan persembahan itu.
"Selain itu saya bersyukur kerana dapat berjumpa sendiri dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang cukup saya kagumi sebagai seorang ulama dan tokoh pemimpin Islam," katanya.
Lagu berunsur nasihat
Menyentuh persembahannya pada Konsert Tautan Kasih yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam ini, dan konsert bersama sempena Perisytiharan MPKB Sebagai Bandar Raya esok, Mawi berkata beliau akan membawakan lagu-lagu yang berunsur nasihat.
"Lagu-lagu pop nasyid seperti 'Intifada' dan 'Pergi Tak Kembali', lagu yang mengingatkan kita kepada mati," katanya.
Artis lain yang turut diundang untuk menghiburkan penonton pada malam ini ialah Mestica dan Akil Hayy manakala sempena malam perisytiharan itu pula Mawi akan membuat persembahan bersama-sama M. Nasir dan kumpulan Rabbani.
Perisytiharan MPKB Bandaraya Islam akan disempurnakan Sultan Kelantan pada jam 8.30 malam esok.
Kedatangan Mawi ke Kelantan menimbulkan kontroversi apabila Dewan Ulama PAS membantah keputusan kerajaan Kelantan mengundang penyanyi itu kerana beliau adalah hasil program realiti televisyen yang mendapat kritikan.

