Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan bagi menentukan rakyat dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata jumlah itu termasuk RM1.3 billion untuk pendidikan pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan matrikulasi manakala RM1.4 bilion untuk pendidikan tinggi, RM1.1 bilion untuk latihan serta RM1.2 bilion untuk ICT, pembangunan kurikulum, asrama dan rumah guru.

Ketika membentangkan Bajet 2006 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata kualiti pendidikan akan diutamakan bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan itu akan kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan dengan itu mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat.

Dalam soal membangunkan modal insan, beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada latihan kemahiran dan kepakaran teknikal dengan peruntukan RM493 juta bagi menampung enrolmen pelajar sekolah teknikal, vokasional dan latihan kemahiran yang akan ditingkatkan daripada 72,000 orang pelajar pada tahun ini kepada 98,000 orang pelajar pada tahun depan.

Selain itu, katanya, peruntukan hampir RM1 bilion disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang dilaksanakan di Institut Kemahiran Mara (IKM), Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi.

IKM latih 12,000 pelajar

Perdana Menteri berkata bagi memaksimumkan penggunaan pusat latihan, program dua syif yang telah diperkenalkan pada tahun ini akan diperluaskan lagi dengan peruntukan RM63 juta bagi membolehkan 47 pusat latihan sedia ada menyertai program ini untuk menampung pertambahan 9,300 pelatih.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata Program Pembangunan Kemahiran Teknikal yang dilaksanakan Pusat Latihan Kemahiran di peringkat negeri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) akan ditingkatkan dengan peruntukan RM175 juta untuk melatih 12,000 pelajar.

"Enrolmen pelajar politeknik akan ditingkatkan daripada 78,000 pelajar tahun ini kepada 80,000 pelajar pada tahun 2006. Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berpeluang memperolehi latihan kemahiran," tegasnya.

Perdana Menteri berkata pembangunan sumber manusia perlu digilap kerana ia merupakan elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi.