Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, soal calon perdana menteri pembangkang yang dibincangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dulu adalah soal teknikal yang dipersetujui pimpinan atasan.

Justeru, katanya, dakwaan pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berang dan kecewa kerana DAP tidak menyokong cadangan supaya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau dirinya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan tidak sepatutnya dibangkitkan semula.

Sebaliknya, Ahmad Fadhli juga dipetik portal Utusan Malaysia sebagai berkata, sudah tiba masa bagi Lim berehat sepenuhnya daripada politik kerana acap kali mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Saya rasa Kit Siang ini nyanyuk dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, DAP sendiri yang memutuskan hubungan dengan PAS malah pernah mendakwa presiden kami sebagai hilang akal.

"Semuanya menunjukkan mereka yang memulakan langkah, DAP tidak bersetuju PASbertegas mempertahankan hudud biarpun ia adalah perkara yang sudah menjadi prinsip parti sejak dahulu," katanya yang dipetik portal milik Umno itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, Lim lupa bahawa DAP sebenarnya yang mula memanaskan hubungan dengan PAS sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat.

Susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa bekas Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat pernah menyuarakan rasa tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin negatif dalam isu kaum dan agama, Lim mengeluarkan kenyataan menjelaskan kemungkinan mengapa presiden PAS itu begitu marah terhadap partinya.

Dedahnya, pada malam sebelum pilihan raya umum ke-13, Abdul Hadi menghubungi DAP dan meminta sokongan supaya cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim digantikan dengan Tengku Razaleigh atau dirinya sebagai perdana menteri Pakatan Rakyat, tetapi menjadi sangat kecewa apabila beliau tidak bersetuju.

Menurut Lim, DAP berpegang teguh kepada janjinya bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya.

Hadi sejak kebelakangan ini semakin lantang dalam serangannya terhadap Pakatan Harapan, terutamanya ke atas DAP dan AMANAH, parti serpihannya.

Beliau juga dilihat bersikap mesra terhadap Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan dilihat agak berhati-hati dengan kenyataan umumnya mengenai skandal pemimpin Umno berkenaan, khususnya kes anti-kleptokrasi Jabatan Keadilan (DOJ) AS berkaitan dengan 1MDB.