Paling Popular
Terkini
story images
story images

Presiden MCA Liow Tiong Lai menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menurutnya pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mencetuskan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia berkenaan pelaburan China.

Dr Mahathir sebelum ini mengkritik projek pembangunan yang melibatkan negara China seperti Johor Forest City dan berikrar membatalkan projek-projek seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekiranya mendapati ia bertentangan dengan kepentingan negara.

Liow menekankan bahawa hubungan antara Malaysia dan China tidak dibina berdasarkan kepentingan namun sebaliknya atas nama persahabatan.

Liow turut mengecam pembangkang kerana cuba merosakkan hubungan dua hala itu.

"Sangat menyakitkan hati mendapati hubungan harmoni antara Malaysia dan China menjadi sasaran opurtunis politik.

"Pembangkang berterusan mengkritik dan cuba mensabotaj hubungan ini dengan menyebarkan semangat ultra-nasionalis semata-mata untuk memuaskan kepentingan politik sendiri.

"Dakwaan tidak berasas terhadap MCA dan dakwaan Parti Komunis China sedang cuba menjajah Malaysia, menjual tanah negeri selain penipuan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan masuk di Taman Industri Kuantan Malaysia-China adalah percubaan menimbulkan ketakutan," kata Liow.

Liow berkata demikian dalam pelancaran inisiatif 'One Belt One Road 2.0' di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 2013, Presiden China Xi Jinping memulakan projek 'One Belt One Road' bagi menumpukan pembangunan perhubungan dan kerjasama antara negara Eurasia. Malaysia merupakan salah satu peserta aktif dalam projek itu.

Turut hadir dalam pelancaran itu adalah Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian, Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong, Naib Presiden MCA Hou Kok Chong selain pemimpin-pemimpin persatuan dan pertubuhan Cina.

Liow dalam mengecam pembangkang menyebut nama Dr Mahathir secara spesifik.

"Sukar untuk diterima akal apabila Dr Mahathir melawat Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan mendakwa tanah itu milik China. Beliau mendakwa kita telah jual tanah itu dan rakyat Malaysia tidak boleh masuk MCKIP dan kita ada ‘Qinzhou Road’.

"Apa yang beliau (Dr Mahathir) tidak sebutkan adalah rakan perniagaan MCKIP di China mempunyai 'Kuantan Road'. Ini merupakan projek penting yang melibatkan kedua-dua negara.

"Dr Mahathir memutar-belit kerjasama ini. Kita mahu rakyat tahu helah politik beliau.

"Mereka akan mensabotaj pelaburan China di Malaysia dan hubungan baik antara kedua-dua negara. Saya ingin menekankan bahawa kita sedang bekerja keras bagi memajukan negara. Menjelang pilihan raya, pembangkang akan melakukan hal-hal negatif untuk mensabotaj negara," katanya.

Ketika berucap, skrin besar di belakang Liow turut memaparkan siri artikel mengecam Dr Mahathir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS