Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tak sihat, program gempur kubu MCA ditangguh
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 8:00 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Pakatan Harapan (HARAPAN) Bentong membatalkan program jelajah Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan esok kerana kesihatan bekas perdana menteri itu yang tidak mengizinkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi HARAPAN Bentong Wong Tack, Dr Mahathir dinasihatkan oleh doktor untuk berehat daripada melakukan aktiviti luar.

"Penganjuran semula akan dimaklumkan kemudian. Pihak penganjur juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul," katanya.

Difahamkan, program yang dijadualkan berlangsung esok di kawasan parlimen presiden MCA itu turut melibatkan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, dan Anggota Parlimen Indera Mahkota Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu kelihatan tidak sihat dan batuk ketika berucap di Konvensyen HARAPAN di Pulau Pinang 4 Februari lalu.

Sementara itu, wakil BERSATU bagi program itu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang dimaklumkan pejabat Dr Mahathir berkata, bekas perdana menteri itu kurang berehat meski tidak sihat sejak minggu lalu.

"Dr Mahathir batuk sejak di program HARAPAN di Pulau Pinang minggu lalu. Tapi masa tu Dr Mahathir tetap muncul.

"Selepas pulang semula ke Kuala Lumpur, sepanjang minggu Dr Mahathir tidak berehat. Meski batuknya makin teruk, dia tetap bertugas. Tapi tadi doktor nasihatkan dia berehat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Untuk rekod, Parlimen Bentong disandang oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 dengan kemenangan tipis 379 undi.

Pembangkang melihat kerusi Bentong yang mempunyai jumlah pengundi Felda yang ramai sebagai kerusi panas dan berpotensi memberi kemenangan kepada mereka.

Parlimen Bentong mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tiga daripadanya disandang oleh DAP.

Sementara itu, Liow yang ditemui pemberita awal hari ini berkata, beliau yakin pada sokongan warga Bentong terhadap kerajaan.

"Dr Mahathir pergi merata-rata. Kita tahu dia bermain helah politik lagi. Saya sudah melakukan tugas dan khidmat saya di Bentong. Saya yakin warga Bentong menyokong kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS