Paling Popular
Terkini

LAPORAN KHAS | MCA menanggung beban "tsunami politik" yang melanda negara dalam pilihan raya umum 2013. Ia kehilangan lebih separuh daripada kerusi yang ditandinginya di Johor, negeri yang sebelum ini menjadi kebanggaan sebagai salah satu "deposit tetap" BN.

Parti itu hanya mampu memenangi empat daripada tujuh kerusi Parlimen dan dua daripada 16 kerusi negeri di negeri di selatan tanahair itu.

Timbalan presiden MCA, Wee Ka Siong pula telah mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk penggal ketiga, namun majoritinya kurang separuh kepada 7,310.

Buat pertama kalinya, MCA kehilangan Yong Peng, salah satu daripada dua kerusi DUN di bawah Ayer Hitam, kepada saingannya, DAP.

Yong Peng adalah kerusi pengundi campuran dengan 60 peratus Cina, 32 peratus Melayu dan tujuh peratus pengundi India. Sementara itu, Semarang, yang dimenangi oleh Umno, adalah kawasan Melayu yang terdiri daripada 85 peratus pengundi Melayu.

Bercakap kepada Malaysiakini, pembantu Wee - Ling Tian Soon (gambar) - teringat perasaan suram apabila melihat keputusan setiap daerah mengundi yang dipaparkan di skrin gergasi di pusat pengiraan.

Ling tidak mempercayai apa yang dilihatnya - pengundi di kesemua lima kampung baru Cina telah menolak parti itu. Lebih memedihkan lagi lawan Wee adalah seorang calon PAS, Hu Pang Chaw. Dia kini dalam AMANAH.

Malah orang tua, yang sebelum ini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada MCA, telah beralih kepada pembangkang, keluhnya.

"Apabila keputusan setiap daerah mengundi diumumkan, kami kalah di semua (saluran), dari golongan muda hingga warga emas. Ia mengejutkan, dan menunjukkan bahawa kami tidak diiktiraf oleh mereka. Semua usaha kami sia-sia," katanya.

Keputusan teruk, tapi bukan terburuk

Walau bagaimanapun, Ling agak lega kerana analisis pasca-pilihan raya, menunjukkan MCA masih mendapat 30 peratus sokongan masyarakat Cina di Ayer Hitam, yang lebih tinggi berbanding purata 14 peratus di peringkat nasional.

"Bagi kami, 30 peratus undi masyarakat Cina (di Ayer Hitam) dianggap hasil terbaik di seluruh negara," katanya.

Selain bergantung kepada sokongan orang Melayu di kerusi DUN Semarang, MCA juga mendapat satu kumpulan pengundi yang berusia atas 50 tahun untuk mengekalkan Ayer Hitam. Kumpulan ini kebanyakannya tinggal di Yong Peng.

Untuk memastikan MCA mengekalkan Ayer Hitam untuk kali ketujuh dan merampas semula Yong Peng dari DAP, parti itu telah berusaha keras untuk berkhidmat kepada masyarakat supaya mereka akan kembali menyokong MCA dalam pilihan raya akan datang.

Minggu lalu, Wee menyerahkan kanta presbyopia kepada 200 orang warga emas di dewan komuniti di Kangkar Bahru, Yong Peng.

Dalam ucapannya di majlis itu, Wee mengingatkan mereka bahawa cermin mata itu hanya untuk membaca dan bukan ketika mereka menunggang motosikal.

"(Apabila anda memakai cermin mata), lebih mudah untuk semak (keputusan) loteri," katanya berseloroh.

Malah, menteri MCA itu juga membantu seorang wanita warga emas, yang menerima sumbangan cermin mata percuma untuk kali kedua, memakainya dan bertanya, "Adakah makcik dapat melihat dengan lebih baik sekarang?"

Cermin mata itu dimuat dalam kotak yang memaparkan imej Wee dan Ling, yang telah dipilih oleh parti sebagai calon untuk Yong Peng.

Pada hari itu, Wee telah menghadiri sembilan acara di Ayer Hitam dan beliau menyampaikan cermin mata untuk membaca di tiga majlis, semuanya di Yong Peng.

Kedua-dua Wee dan Ling, seorang ahli politik sepenuh masa berusia 34 tahun telah dipertanggungjawabkan oleh MCA untuk merampas semula Yong Peng, mempunyai pasukan yang kuat untuk menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

Apabila Ling ditemubual Malaysiakini di pusat khidmat, pasukannya sibuk menyambut penduduk, membantu mereka dengan permohonan untuk perumahan yang mampu milik dan BR1M.

Selain warga emas, MCA juga perlu memenangi semula hati anggotanya, yang ada antaranya berpaling kepada pembangkang dalam PRU13.

Ling menganggarkan sekurang-kurangnya 10 peratus ahli parti itu mengundi pembangkang dalam pemilihan 2013.

Menurutnya, kira-kira 6,500 atau 40 peratus pengundi Cina di Ayer Hitam adalah ahli MCA. Terdapat sejumlah 42,913 pengundi yang layak pada 2013.

Untuk mencapai keputusan yang lebih baik, MCA telah merombak kepimpinan bahagian Ayer Hitam dirombak selepas pilihan raya yang lalu. Ketika itulah Ling muncul sebagai ketua bahagian MCA termuda pada usia 29 tahun.

Beliau telah memimpin satu pasukan yang agak muda, dengan purata usia 40, untuk membantu Wee dalam menyediakan perkhidmatan di kawasan pilihan raya itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS