Lautan manusia membanjiri Padang Perdana untuk menyaksikan konsert 'Tautan Kasih' anjuran kerajaan PAS Kelantan yang pertama sejak parti itu memerintah negeri, dengan menjemput artis kelahiran Akademi Fantasia, Mawi.

Persembahan sempena pengisytiharan Kota Bharu sebagai Bandaraya Islam berlangsung dalam suasana yang penuh berdisplin, sopan dan Islamik.

Malah, menurut laporan Harakahdaily, lebih ramai lagi peminat terkandas di jalan-jalan utama menghala ke Padang Perdana disebabkan kesesakan yang begitu pandat dan sendat.

Konsert itu juga disiarkan secara langsung melalui radio Manisfm dan internet yang diikuti ribuan pengunjung di laman web termasuk di Glasgow, Morocco, Kaherah, Japan. Siaran langsung melalui skrin besar juga boleh diikuti di Taman Melewar dan Kota Tinggi.

Persembahan pertama Mawi sempena konsertnya di negeri ini berjaya memukau penonton dengan dua buah lagu irama padang pasir, iaitu Nurul Ain dan Aduh Saleha.

Juara bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) itu menyampaikan lagu-lagu terbabit sempena majlis Santapan Hi-Tea Bersama Raja Perempuan Kelantan untuk Tabung Orang Kurang Upaya (OKU), di Hotel Perdana, di sini petang tadi.

Turut berangkat, Raja Ampuan Mahkota Kelantan, Tengku Zubaidah Tengku Noruddin, kekanda Sultan Kelantan, Tengku Salwani Sultan Ismail Petra.

Turut hadir, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta isteri masing-masing.

Kuliah agama

Sebagai menghargai kunjungan Mawi ke negeri ini, Raja Perempuan Kelantan turut menyampaikan cenderahati kepadanya.

Turut mengadakan persembahan Kumpulan Nasyid Mestica, penampilan istimewa Rosdi Abdul Hamid. Rosdi yang mewakili orang kurang upaya menyampaikan dua buah lagu, iaitu Gadis Melayu dan Renungkanlah

Acaranya bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan kuliah agama yang disampaikan Adun Meranti, Ustaz Nusuruddin Daud. Kemudian solat Isya' yang diimamkan Ustaz Akil Hayy.

Bagi wanita mereka tidak lupa mengelek kain sembahyang. Dan tiba di Padang Perdana petugas yang terdiri daripada penguatkuasa Majlis-Majlis Daerah di Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), polis, Rela dan Unit Amal memandukan mereka masuk ke lokasi dikhaskan mengikut jantina.

Lelaki berada di sebelah hilir padang, wanita di bahagian hulu dan mereka yang datang berkeluarga dikhaskan di tengah-tengah padang. Jelas sekali kelihatan cukup sopan, teratur dan berdisiplin.

Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa sebagai pengerusi program tersebut melahirkan rasa terharu dan bersyukur di atas kejayaan penganjuran konsert terbabit yang jelas berdisiplin dan menepati Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Jaga etika

"Ini menepati kehendak Menteri Besar yang mahu konsert yang dijayakan di Kelantan berlainan dengan tempat-tempat lain, di mana setiap yang hadir masing-masing menjaga etika.

"Begitu juga dari aspek persembahan di mana setiap artis yang ditampilkan mempersembahkan lagu yang membawa mesej jelas dan bukan khayal," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya konsert tersebut jam 11.30 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Patah Mahmood berkata, konsert alternatif tersebut adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan di negara ini.

Katanya, semua orang yang hadir termasuk golongan remaja tidak mempamerkan aksi yang sering dilihat pada penganjuran konsert di tempat-tempat lain. Seorang lagi anggota Exco, Dr Nik Mazian Nik Mohamad memuji konsert tersebut yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berharap konsert alternatif yang dijayakan di Kelantan menjadi model kepada kerajaan Malaysia bagi diperluaskan ke seluruh negara.

"Ini adalah contoh terbaik yang tidak pernah disaksikan di negara ini. Ini jelas menggambarkan kerajaan PAS Kelantan mampu menganjurkan program hiburan yang jelas tidak bercanggah dengan tatacara Islam," katanya.

Pengarah Jabatan Kesenian PAS Pusat, Muhaimi Sulam berkata, keberanian Menteri Besar Kelantan bagi menjayakan program ini tidak boleh dipertikaikan lagi selepas melihat sendiri konsert tersebut dijayakan.

*Foto ehsan Harakah