Hadi nafi berdendam dengan DAP
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan beliau berdendam terhadap DAP kerana parti itu enggang menyokongnya atau Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) 2013.
"Tak betul, tak betul. Tak payah komenlah, tak betul," katanya seperti dipetik edisi terbaru akhbar itu, Harakah.
Hadi menjawab kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mendakwa beliau berang terjadap DAP kerana enggan menyokongnya sebagai calon perdana menteri.
Selain Hadi, Lim juga berkata PAS turut mencadangkan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, atau Ku Li, sebagai calon bagi gabungan pembangkang ketika itu.

Lim mendakwa Hadi menghubungi DAP untuk menyatakan cadangan itu pada malam sebelum PRU ke-13.
"Dia sangat kecewa apabila DAP tidak bersetuju," kata Lim.
DAP tetap dengan keputusannya iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika Pakatan menang pada PRU itu.
Lim mendakwa penolakan DAP itu menjadi titik mula kepada usaha Hadi untuk "menghancurkan dan memusnahkan" Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat berkubur pada tahun 2015 dan digantikan dengan Pakatan Harapan, yang dianggotai PKR, DAP, parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) dan parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

