Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam penduduk setempat yang mengganggu ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Johor Bahru Sabtu lalu sehingga terpaksa dibatalkan.

Menggelar kumpulan itu sebagai "samseng Umno", Muhyiddin berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana pada acara itu HARAPAN turut mengagihkan bantuan dan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Ia perkara simbolik, biasa dilakukan ketika perayaan. Sepatutnya tiada tindakan (gangguan) sebegitu.

"Ia menunjukkan sikap biadab dan tidak hormat, hanya kerana perbezaan politik. Kita boleh berbeza dalam politik, tetapi jangan halang pemimpin masyarakat (untuk menganjurkan majlis seumpama itu)," katanya ketika ditemui selepas sesi bertemu masyarakat di Pasar Dato' Keramat, hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berharap insiden serupa tidak akan memburuk menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Pada 10 Februari lalu, ceramah yang diadakan di sebuah warung di Kampung Bakar Batu Johor Bahru anjuran HARAPAN negeri yang dihadiri Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang diganggu sekumpulan penduduk.

"Tolong jangan lebih-lebih. Cukup. Jangan libatkan Umno, saya tak suka. Jangan guna isu politik mengatakan Umno. Saya penduduk kampung," kata seorang lelaki yang mencelah ketika pemimpin HARAPAN Johor memberikan sidang media selepas acara dibatalkan.

Selain Lim, pemimpin HARAPAN yang hadir adalah Setiausaha BERSATU Johor Datuk Osman Sapian, Ketua Penerangan PKR Negeri Akmal Nasir dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang daripada DAP Chen Kah Eng. 

Chen mendakwa kekacauan itu dicetuskan anggota Umno dan BN.

"Umno BN telah salah gunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk menakutkan orang supaya tidak beri ruang kepada kita untuk bertemu dengan rakyat.

"Kalau baju biru, siapa dia. Iaitu orang Barisan Nasional. Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional," katanya.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad pula berkata berdasarkan video yang dikongsi Chen di Facebooknya, beliau tidak melihat mana-mana penduduk yang terlibat memakai baju Umno atau BN maka tidak adil untuk menuding jari kepada parti itu.

Lihat Komen
ADS