Kerajaan Msia beri jaminan keadaan di negara ini terkawal
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyuarakan perasaan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kejadian pengeboman di Bali, Indonesia, malam tadi yang mengakibatkan sekurang-kurang 32 terkorban dan mencederakan 100 lain, termasuk pelancong asing.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyuarakan perasaan dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kejadian pengeboman di Bali, Indonesia, malam tadi yang mengakibatkan sekurang-kurang 32 terkorban dan mencederakan 100 lain, termasuk pelancong asing.
Abdullah berkata, kejadian itu dilakukan manusia dan bukan malapetaka alam seperti gempa bumi.
"Saya harap pihak Indonesia akan bertindak segera untuk mengetahui sebab di sebalik pengeboman itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) kali ke-52 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
"Tindakan untuk melemparkan tuduhan-tuduhan tanpa bukti boleh menimbulkan lebih banyak masalah," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia ke Indonesia, Abdullah berkata tidak ada arahan seperti itu.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri bagaimanapun berkata, rakyat Malaysia harus menyedari tentang apa yang berlaku di negara jiran itu dan membuat keputusan sendiri, katanya.
Mengikut laporan, bom meletup hampir serentak di tiga kawasan pelancongan di pulau peranginan Bali pada kira-kira jam 8 malam menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan mencederakan lebih 100 orang.
Dalam kejadian itu, dua letupan besar dikatakan berlaku di sebuah kedai makan di Jimbaran, satu kedai makan stik di Kuta Town Square dan di kawasan hotel dan resort mahal di Nusa Dua.
Kejadian pengeboman itu berlaku hanya dua minggu sebelum ulang tahun insiden pengeboman pertama di sebuah kelab malam, di pantai Kuta, Bali pada 12 Oktober 2002, mengorbankan 202 orang yang kebanyakanny pelancong Australia.
Kejadian itu dan yang terbaru ini didakwa dilakukan oleh kumpulan pelampau Islam yang mempunyai hubungan dengan rangkaian Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah.
Keadan terkawal
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Malaysia bersedia memberi segala bentuk kerjasama kepada kerajaan negara itu.
"Kita berharap kerjasama ini (yang sedia ada) dapat diteruskan dan kita berharap tindakan penguatkuasaan akan dilakukan di mana sahaja dapat dikesan adanya pengganas yang boleh melakukan tindakan durjana seperti ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, kejadian ini merupakan satu tamparan hebat kepada masa depan masyarakat Bali yang baru saja pulih daripada kejadian pengeboman pertama dan juga sekitar Indonesia.
Mungkin juga kejadian ini akan menimbulkan kebimbangan terhadap rantau ini tetapi di Malaysia kerajaan boleh memberi jaminan bahawa keadaan seperti ini adalah terkawal, kata beliau.
"Tidak ada sel-sel pengganas yang sedang bergerak cergas di Malaysia setakat yang diketahui oleh kerajaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengutuk
pengeboman itu dan akan memburu mereka yang bertanggungjawab terhadap
kejadian tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.