Juara Akademi Fantasia (AF) 3 Asmawi Ani atau Mawi bersedia bila-bila masa untuk mengadakan persembahan di Kelantan biarpun tujuannya itu disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai bermotifkan politik.

Mawi, 24, tetap bersemangat untuk ke Kelantan yang kini diperintah oleh kerajaan PAS kerana niat beliau ikhlas hanya untuk menghiburkan peminat di negeri itu.

"Saya akan ke Kelantan jika diundang lagi untuk mengadakan persembahan di negeri itu, tidak kiralah bila, saya tetap akan ke sana lagi," katanya kepada pemberita selepas ditemui di majlis "Mawi Temui Peminat di A Famosa Water World" anjuran A Famosa Resort di Melaka hari ini sebagai mengulas pengalamannya mengadakan persembahan di Kelantan malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Mawi mengakui memperoleh pengalaman unik selepas mengadakan persembahan di Kelantan yang dirasakan agak berlainan daripada konsert-konsertnya yang terdahulu.

"Sewaktu mengadakan persembahan di Kelantan, pemandangan dari atas pentas agak unik kerana orang ramai yang menyaksikan persembahan diasing-asingkan iaitu lelaki di barisannya dan wanita di tempat masing-masing.

"Mula-mula saya agak terperanjat tetapi persembahan tetap diteruskan demi tidak menghampakan para peminat," katanya.

Pihak pengurusan A Famosa Resort hari ini menyerahkan sebuah unit kondominium Villa Beverly Hiils kepada Mawi sebagai hadiah di atas kejayaannya muncul juara AF 3.

Hadiah kondo

Selain hadiah kondominium itu, Mawi turut memenangi wang tunai RM20,000, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, pakej percutian ke London dan Paris, sistem teater rumah dan peralatan elektrik.

Mengulas mengenai hadiah kondominium itu, Mawi berkata kediaman bernilai RM175,000 itu akan dijadikan rumah percutiannya ketika bercuti di Melaka kelak.

Sementara itu, Kerajaan PAS Kelantan akan membenarkan sebarang konsert hiburan asalkan is memenuhi syarat yang ditetapkan pada Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan berpendapat sudah sampai masanya perubahan itu dilakukan selepas 15 tahun parti itu memerintah negeri ini.

"Kita melihat isu hiburan dalam bentuk lebih global dan sebagai contoh beberapa artis wanita termasuk Sarimah (Datuk Sarimah), Norkumalasari dan Waheeda hadir pada pertunjukkan fesyen untuk hadirin wanita sahaja hari ini,"

"Langkah kerajaan negeri kini ialah kita mengawal hiburan dan bukannya mengharamkannya dan konsert majlis perisytiharan dilihat 100 peratus memenuhi kehendak enakmen kawalan hiburan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas perisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam yang disempurnakan Sultan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini, malam tadi.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri berpuashati dengan perjalanan konsert sempena perisytiharan Bandaraya Islam yang dihadiri lebih 40,000 penonton dan menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.

Katanya, Sultan dan Raja Perempuan Kelantan turut berpuashati dengan persembahan konsert semalam dengan memberikan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, katanya.