Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya takut menang lawan Azmin, nanti jadi MB pula'
Diterbitkan:  Feb 12, 2018 5:00 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata beliau tidak pernah takut kalah melawan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali di Bukit Antarabangsa dalam pilihan raya umum akan datang.

Secara berseloroh, pemimpin yang terkenal dengan pelbagai gimik itu, berkata beliau sebaliknya “takut menang” kerana bimbang “menggugat” peluang anggota parlimen BN di kawasan itu Budiman Mohd Zohdi.

“Jadi kalau saya menang, saya bimbang YB Budiman pula tergugat.

“Saya pula (nanti) jadi menteri besar kerana saya mengalahkan menteri besar,” katanya dalam satu acara bersama media dan penulis blog di Sekinchan, Sabtu lalu.



Budiman (atas, bersongkok) antara tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang disebut-sebut sebagai peneraju kerajaan Selangor jika BN berjaya merampas kembali negeri itu.

Budiman juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang.

Selain Budiman, turut dispekulasikan adalah Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali) dan Shahrom Mohd Sharif (Dengkil).

Sementara itu, Jamal juga berkata hasil gerak kerjanya di peringkat bawahan, beliau yakin sudah mendapat tempat di hati 51 peratus pengundi kawasan itu.

“Saya belum habis lagi untuk keseluruhan (jumpa pengundi).

“Keyakinan saya ini dari sikap bosan dan benci pada Azmin yang cuma pandai berpolitik tetapi hakikatnya DUN sendiri tak urus dan jaga dengan baik,” katanya.

Ketika menjawab soalan, Jamal juga berkata beliau tidak akan bertanding di Sungai Besar dan cuma mahu memastikan kemenangan 100 peratus di parlimen dan DUN dalam kawasan itu – Sungai Panjang dan Sekinchan.

Dalam pilihan raya umum lalu, Azmin menang dengan majoriti 4,044 undi mengalahkan calon BN Mohamad Nadzim Ibrahim.

Azmin mendapat 16,502 undi manakala Mohamad Nadzim pula mendapat 12,458. Kawasan itu mempunyai 57 peratus pengundi Melayu, 36 peratus Cina dan 6 peratus India.

Lihat Komen
ADS