Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pemberian bonus dan elaun tambahan untuk lebih sejuta kakitangan awam yang diumumkan dalam Bajet 2006 bukan bermaksud untuk "membeli" sokongan mereka kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan menganggap ia sesuatu yang wajar diberikan kepada kakitangan awam selepas mengambil kira situasi kerja mereka.

"Bukanlah niat kita untuk membeli khidmat dan sokongan dengan memberi elaun tambahan dan sebagainya. Itu bukan...," kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri Putrajaya.

Ketika membentangkan Bajet 2006 pada Jumaat lalu, beliau mengumumkan pemberian bonus antara sebulan dan satu setengah bulan gaji untuk kakitangan awam serta bantuan kos sara hidup antara RM50 dan RM150 sebulan mulai 1 Januari 2006.

Selain itu, Abdullah turut mengumumkan kenaikan Imbuhan Tetap Khidmat Awam kepada RM300 sebulan bagi kakitangan awam gred 41 dan 42 serta pensyarah gred 45.

Beliau berkata, pandangan semua pihak termasuk ahli Parlimen, pemimpin sektor tertentu dan orang ramai, akan diambilkira dalam membantu kerajaan melaksanakan bajet berkenaan.

Pelaksanaan bajet

"Semua ini bukanlah kita anggap sebagai perkara tak baik, bahkan kita sambut dengan baik segala pandangan yang diberikan.

"Mudah-mudahan dengan adanya pandangan sedemikian, ia akan memberi panduan untuk kita memperbaiki pelaksanaan bajet itu," kata Abdullah.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata mesyuarat kabinet pada Jumaat sebelum pembentangan Bajet 2006 bersetuju bahawa usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk melaksanakan apa yang dijanjikan dalam dokumen itu.

Menurutnya, kerajaan menganggap usaha memenuhi janji kepada rakyat sebagai amat penting.

"Inilah yang akhirnya akan memberi makna. Apalah gunanya pelan jika tiada pelaksanaan yang cekap dan rapi dengan menepati apa yang dikehendaki," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah meminta kakitangan awam bekerja dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai amanah yang besar kepada rakyat dan negara.