Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat wanita rugi setengah juta angkara Macau Scam

Akibat terlalu percaya dan tidak membuat penyemakan dengan pihak berkuasa, empat individu di Pontian dekat Johor Bahru tidak semena-mena mengalami kerugian berjumlah RM634,867 akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Zakaria Abd Rahman berkata kesemua kes berlaku pada bulan lepas dan melibatkan keempat-empat wanita berumur 40-an hingga 60-an yang bekerja sebagai guru, pesara kerajaan, pekerja swasta dan lain-lain.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu selepas mendapati kesemua wang dalam akaun bank mereka lesap.

Sebelum itu, mereka dikatakan menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali kononnya mengaku sebagai pegawai bank dan juga pengawai kanan polis.

Namun, menurut Zakaria, ia merupakan modus operandi sindiket bagi memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang.

Sindiket itu juga, katanya, akan memberitahu mangsa bahawa mereka mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan institusi kewangan sebelum menyambung panggilan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis di ibu pejabat polis tertentu.

“Di situ, mereka menyatakan mangsa terlibat pula dengan kes jenayah seperti pengubahan wang haram, penyeludupan dadah dan lain-lain kes jenayah.

“Suspek akan menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes tersebut dengan meminta mangsa membuat bayaran wang jaminan tetapi mangsa harus membuka akaun dengan pihak bank dan menyerahkan butiran akaun mereka seperti nombor pin transaksi perbankan Internet kepada suspek.

“Semua ini bertujuan membolehkan suspek membuat pengeluaran wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya ada menerima panggilan sedemikian.

Beliau juga meminta orang ramai agar tidak mendedahkan apa-apa butiran akaun bank dan membuat semakan dengan pihak bank dan ibu pejabat polis terdekat jika berdepan situasi yang sama.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -Bernama

Lihat Komen
ADS