Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan negeri nafi pengaruhi Sultan Kelantan
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 1:06 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menafikan kerajaan negeri mempengaruhi keputusan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, untuk menarik darjah kebesaran dua pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri itu.

"Berdasarkan pengalaman, tuanku mempunyai maklumat dan membuat penilaian sendiri. Tak Sepatutnya ada mana-mana pihak yang mempertikainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.

Beliau membangkitkan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menarik balik darjah kebesaran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014.

"Sedangkan PKR (dan Pakatan Rakyat) yang menjadi kerajaan negeri. Apakah PKR yang melobi agar tuanku menarik pingat Anwar?" soalnya.

Pada 7 Februari lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bersetuju menarik balik Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk daripada Naib Presiden AMANAH Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Untuk rekod Husam dan Wan Abd Rahim adalah antara bekas pemimpin kanan Kelantan semasa bersama PAS suatu ketika dulu.

Selain Husam dan Wan Rahim, Sultan Muhammad V turut menarik balik Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dikurniakan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2002.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa penarikan itu menyebabkan darjah kebesaran tidak lagi bernilai pada masyarakat.

Ini kerana pada masa sama "pemimpin kleptokrat" masih lagi menyandang darjah kebesaran yang dikurniakan kepada mereka, kata Mahfuz.

Mohd Amar berkata, pengurniaan dan penarikan darjah kebesaran adalah hak sultan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Maka tidak bijak jika ada yang mempertikai hak dan prerogatif Sultan. Tak baik kita komen (keputusan Sultan Kelantan)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS