Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rizal 'sekolahkan' Dr Mahathir
Diterbitkan:  Feb 14, 2018 1:12 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Seorang pegawai khas perdana menteri hari ini memberi nasihat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersikap lebih cermat sebelum membuat tuduhan kepada kerajaan.

Kata Datuk Rizal Mansor, Dr Mahathir tidak sepatutnya mendengar dan mudah percaya kepada khabar angin berkaitan Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Rizal bekas perdana menteri itu tidak sepatutnya mengutamakan kepentingan politik melebihi hukum dan adab sehingga tergamak melemparkan fitnah berkaitan isteri Najib.

Rizal berkata demikian sebagai mengulas isu pemergian Rosmah ke luar negara menggunakan pesawat kerajaan dan mendapat kecaman Dr Mahathir.

Untuk rekod perjalanan dibuat Rosmah itu berlangsung pada Mei 2016 dan kritikan Dr Mahathir yang dirujuk Rizal adalah rakaman video pada tahun sama.

Kata Dr Mahathir kerajaan membelanjakan RM86 juta untuk menyewa jet peribadi bagi kegunaan Rosmah berkunjung ke negara asing.


Baca: 'Kalau boleh bagi bajet, saya bagi lebih pada PERMATA'


Dalam kenyataan itu Rizal menjelaskan tuduhan bekas perdana menteri itu bersifat jahat serta cuba memesongkan pandangan rakyat kononnya isteri perdana menteri melakukan pembaziran.

"Sebenarnya kerajaan tidak menyewa pesawat tersebut khusus untuk Rosmah

"Pesawat udara ACJ319 dengan nombor pendaftaran A6-CJE itu ialah pesawat gantian yang disewa kerajaan Malaysia bagi kegunaan orang kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain," katanya seperti dilapor umno-online.

Jadual Rosmah padat

Rizal juga menjelaskan kiraan kos sewaan sebanyak RM86 juta itu tidak benar sebaliknya sekadar anggaran dibuat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Malah kata Rizal kiraan berkenaan tidak masuk akal kerana Rafizi mengambil kiraan kos penerbangan sebanyak RM60,000 sejam yang didarabkan sebanyal 24 jam untuk tempoh 60 hari.

"Sudah tentu pesawat tersebut tidak terbang 24 jam setiap hari selama dua bulan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Rizal berkata kapal terbang itu disewa kerajaan Malaysia untuk tempoh Mei dan Jun 2016 sebagai gantian kepada pesawat udara ACJ320 yang ketika itu dalam proses penyelengaraan.

Rizal kemudian menjelaskan bahawa Rosmah menaiki pesawat udara terbabit ke Istanbul, Turki adlaah untuk menerima penghargaan 3G Children Welfare Award bagi pihak PERMATA Negara.

Anugerah berkenaan kata Rizal lagi adalah kebanggaan negara sekali gus melambangkan kejayaan program PERMATA yang diilhamkan Rosmah.

"Rosmah bertolak ke Istanbul pada jam 12 tengahari pada 25 Mei 2016 dan tiba di Istanbul pada jam 8 malam (waktu tempatan) hari yang sama.

"Keesokan harinya (26 Mei) Rosmah menghadiri majlis penyampaian anugerah dan terus bertolak balik pada jam 11 malam untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang akan dirasmikan Raja Permaisuri Agong di Langkawi," katanya.

Disebabkan jadual yang padat itu kata Rizal tidak mungkin untuk isteri Najib itu menggunakan pesawat komersial dalam perjalanan berkenaan.

Secara kebetulan juga katanya kapal terbang itu tidak digunakan oleh sesiapa.

Rizal turut menjelaskan beg-beg yang kelihatan dibawa menaiki pesawat berkenaan bukanlah milik Rosmah semata-mata, sebaliknya membabitkan penumpang lain.

Katanya beg itu perlu dibawa ke dalam kabin kerana pesawat udara terbabit sudah diubah suai untuk menambah kapasiti minyak.

Baki ruang yang ada dalam bahagian bagasi, katanya, sudah dimuatkan dengan peralatan dan kostum anak-anak PERMATA Seni yang akan membuat persembahan.

"Bagaimana seorang negarawan boleh mendengar dan percaya kepada khabar angin sebegini?" kata Rizal menyoal Dr Mahathir.

Lihat Komen
ADS