Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kamalanathan tak patut dedah sejarah Vasanthapiriya'

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan tidak sepatutnya mendedahkan M Vasanthapiriya yang meninggal dunia selepas percubaan membunuh diri, mempunyai rekod mencederakan diri sendiri, kata Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.

"Perkara itu di luar kapasitinya untuk mengulas. Ia adalah kapasiti polis atau Kementerian Pendidikan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

"Kita perlu berlaku adil kepada keluarga dan remaja itu yang sudah meninggal dunia. Kita tak boleh timbulkan apa-apa yang menjejaskan nama pelajar itu dan keluarganya," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Kamalanathan yang mencetuskan kecaman daripada keluarga, masyarakat sivil dan juga pembangkang.

Subramaniam bagaimanapun mempertahankan Kamalanathan dengan mendakwa beliau hanya memberi respons kepada soalan wartawan.

"Kamalanathan (gambar) memberitahu yang bukan dirinya yang berkata demikian. (Dakwaan itu) dicadangkan oleh wartawan dan beliau menjawabnya," kata Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Akhbar The Sun Daily baru-baru ini memetik laporan kaunselor yang dikatakan pernah menasihati keluarga Vasanthapiriya agar mendapatkan bantuan perubatan selepas pelajar tingkatan dua itu didakwa memotong pergelangan tangannya pada 2016.

Laporan itu menyatakan ketika ditanya berhubung perkara itu, Kamalanathan menjawab: "Benar, pada 2016, dia memotong pergelangan tangannya."

Anggota Parlimen Hulu Selangor itu juga dipetik berkata keluarga pelajar itu tidak mengikut cadangan kaunselor.

Bapa Vasanthapiriya, R Muniandy menafikan dakwaan itu.

Pelajar itu menggantung dirinya dengan selendang pada 24 Januari lalu, selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.

Subramaniam berkata langkah terbaik adalah memastikan tragedi sama tidak lagi berulang.

Beliau juga mengingatkan pemimpin lain agar lebih berhati-hati ketika menjawab soalan wartawan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS