PM: Tidak perlu pasaran OIC jika anggota sendiri tidak berminat
Negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak perlu menubuhkan pasaran OIC global sekiranya mereka sendiri tidak berminat berdagang sesama sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak perlu menubuhkan pasaran OIC global sekiranya mereka sendiri tidak berminat berdagang sesama sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Katanya, perdagangan antara negara OIC bernilai kira-kira AS$800 bilion (RM2.96 trilion) yang menyumbang hanya 6 hingga 7 peratus daripada jumlah perdagangan dunia, kerana anggotanya lebih cenderung berdagang dengan negara bukan OIC.
Ini bermakna pasaran OIC yang terdiri daripada 57 negara itu, adalah begitu kecil.
"Angka-angka ini agak kecil bagi sebuah perkumpulan yang besar seperti ini," katanya dalam ucaptamanya di Forum Ekonomi Islam Dunia, di sini.
"Tidak perlu bercakap mengenai pasaran OIC global kalau kita sendiri tidak berdagang sesama kita," kata Abdullah, yang juga pengerusi OIC.
Menurutnya, tahap perdagangan di kalangan negara OIC perlu dianggap oleh anggotanya sebagai tidak memuaskan, terutamanya apabila bahagian pasaran itu hanya sama nilai dengan China.
"Justeru, ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang menghalang OIC daripada mencatatkan bahagian pasaran dunia yang berpatutan.
"Lebih memburukkan, OIC mencatatkan penurunan bahagian perdagangan di negara-negara membangun," kata Abdullah.
Perdagangan menurun
Menurut laporan Bernama, daripada bahagian perdagangan 47.5 peratus yang dicatatkan pada 1980, peratusan telah jatuh menjunam kepada hanya 22.1 peratus pada 2001.
Perdana Menteri berkata satu faktor utama yang menyebabkan penurunan ketara itu adalah negara anggota sering memberi penekanan utama kepada perdagangan dengan negara-negara perindustrian dan bukan OIC.
Malahan, katanya, penyumbang utama kepada perdagangan antara negara OIC seperti Malaysia, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turki, Iran dan Indonesia juga mempunyai negara-negara perindustrian dan bukan OIC sebagai tiga rakan dagang utama negara masing-masing.
Abdullah berkata, prestasi perdagangan yang buruk antara negara OIC dicerminkan dalam pola aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke negara-negara anggota.
Kecuali beberapa negara anggota yang dikategorikan sebagai negara berpendapatan sederhana dan negara pengeksport minyak, OIC sebagai satu perkumpulan hanya berjaya merebut bahagian yang kecil daripada jumlah aliran masuk FDI global ke negara membangun, katanya.
"Saya difahamkan bahawa kedua-dua kumpulan negara ini dalam OIC, berjaya menarik sehingga 90 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI ke OIC secara keseluruhannya," katanya.
Menurutnya, negara anggota OIC perlu mengenalpasti halangan yang menyekat peningkatan perdagangan dan perniagaan di kalangan mereka.
Lima strategi utama
Beliau menggariskan lima strategi utama yang perlu untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang seimbang di dunia hari ini.
Pertama, katanya, adalah penyediaan prasarana fizikal yang dapat membantu menyediakan persekitaran kondusif bagi aktiviti ekonomi manakala kedua, pelaburan dalam modal insan dan pendidikan di mana tenaga kerja yang mahir dan berbakat besar penting bagi memaksimumkan peluang yang disediakan oleh persekitaran ekonomi yang sentiasa berkitar.
Abdullah berkata, mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan di mana pengetahuan menjadi ramuan utama kepada pembangunan insan dan ekonomi juga penting.
Selain itu, beliau juga menggesa pemelbagaian sumber pertumbuhan dengan mengurangkan pergantungan kepada sumber tertentu secara meneroka sumber pertumbuhan lain.
Akhir sekali, katanya, mustahak untuk membangunkan kawasan luar bandar di mana usaha-usaha tersebut perlu ditumpukan kepada menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan tersebut.
"Kita telah banyak berbincang. Marilah kita laksanakan apa yang telah dibincangkan. Jika kita dapat menzahirkan perbincangan kita kepada satu tindakan, orang lain akan melihat kita dengan serius," katanya.

