Syed Hamid: Letupan di Bali bukti kumpulan pengganas masih aktif
Berulangnya letupan bom di Bali Sabtu lalu, jelas membuktikan bahawa kumpulan pelampau masih aktif dan merupakan satu ancaman yang mampu menggugat kestabilan keselamatan rantau ini jika tidak dibendung, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Berulangnya letupan bom di Bali Sabtu lalu, jelas membuktikan bahawa kumpulan pelampau masih aktif dan merupakan satu ancaman yang mampu menggugat kestabilan keselamatan rantau ini jika tidak dibendung, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Oleh itu, katanya, negara anggota Asean harus mempertingkatkan usaha bersepadu di kalangan mereka agar tindakan menangani kegiatan keganasan oleh kumpulan pelampau menjadi lebih berkesan.
"Walaupun tiada rakyat Malaysia yang tercedera atau terbunuh dalam insiden itu, Malaysia tetap melahirkan perasaan sedih dan ini membuktikan satu tindakan yang berkesan harus diambil bagi mengatasinya," katanya di sini malam tadi.
Beliau yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Malam Bersama Tokoh ajuran Umno Bahagian Padang Serai, berkata Jakarta diyakini akan dapat menangani ancaman tersebut dan tindakan segera dapat diambil.
Dalam serangan bom ke atas tiga buah restoran di Bali itu yang didakwa Jakarta dilakukan oleh Jemaah Islamiah (JI), 26 terbunuh manakala lebih 100 orang cedera.
Sementara itu, Syed Hamid yang mengharapkan Jakarta dapat segera memberkas mereka yang terlibat berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat atau mencegah rakyat negara ini daripada mengunjungi Bali tetapi menasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati dan berwaspada.
Peniaga dinasihat berwaspada
Menyentuh mengenai konflik di selatan Thailand, Menteri Luar itu berkata rakyat Malaysia yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya golongan peniaga dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan perkembangan semasa di negara jiran itu.
Katanya rakyat negara ini diminta tidak terperangkap dengan keadaan keselamatan yang tidak menentu berikutan timbulnya pelbagai kejadian selain tindakan yang diambil pihak berkuasa di negara itu.
Syed Hamid berkata Malaysia menghormati integriti dan kedaulatan wilayah di negara itu tetapi negara ini berhak mendapat penerangan jika masalah yang berlaku itu mempunyai kesan limpahan kepada negara-negara jiran.
"Pada kita selagi tidak merebak, memang soal dalaman negara Thailand. Tetapi kalau ada kemungkinan untuk merebak dan boleh menjejaskan persepsi dunia luar terhadap rantau ini, maka adalah wajar Bangkok memberikan penerangan terhadap sesuatu situasi itu," katanya.
Beliau berkata di dalam Asean, sesebuah negara anggota itu tidak pernah dipaksa untuk menceritakan masalah dalamannya atau negara lain cuba mencampuri urusan dalaman itu tetapi jika sesebuah negara lain bertanya, ia tidak bermakna tindakan itu sebagai cuba mencampuri urusan dalaman negara yang ditanya itu.

