Pemaju Flat Taman Ampang Mewah di Kuala Lumpur sedia berjumpa dengan pembeli bagi menyelesaikan masalah berhubung pengeluaran geran hak milik kepada para pembelinya.

Jurucakap Town West Sdn Bhd anak syarikat Seimbang Sdn Bhd yang memajukan kawasan perumahan tersebut berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menemui penduduk.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai masalah tersebut kerana tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk terbabit.

"Kami tidak diberitahu supaya menghadiri perbincangan mengenai masalah geran hak milik dan penyelenggaraan, dengan penduduk flat tersebut di Bangunan Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) minggu lalu.

"Kami tidak pernah lari dari tanggungjawab...tetapi kami tidak diberitahu oleh MPAJ mengenai perbincangan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bayaran tertunggak

Perbincangan tersebut sepatutnya diadakan Sabtu lalu, selepas MPAJ menerima memorandum daripada pembeli terbabit, tetapi ianya tidak dapat diadakan kerana pihak MPAJ tidak dapat mengesan dan menghubungi pemaju berkenaan.

Jurucakap itu berkata, adalah mustahil MPAJ tidak dapat menghubungi pihakya kerana majlis berkenaan yang mengeluarkan sijil layak duduk untuk flat tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa masalah pengeluaran geran hakmilik akan selesai tidak lama lagi kerana pihaknya dalam proses akhir menghantar dokumen mengenainya kepada pihak berkuasa.

"Saya menasihatkan para pembeli supaya membuat pemeriksaan di Pejabat Tanah Bangi untuk memastikan nama masing-masing tidak tercicir," katanya.

Sementara itu, Syarikat Land Serve Property Management yang diberi tanggungjawab menyelenggara Taman Ampang Mewah pula, mendakwa pembeli tidak membayar kos penyelenggaraan sejak bertahun-tahun lalu.

Jurucakapnya berkata, sehingga ini bayaran tertunggak berjumlah RM140,000 dan ini menyebabkan pihaknya terpaksa mendapat sumber kewangan lain bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang penting terlebih dahulu.

"Kami baru mengambilalih pengurusan pada bulan Jun lalu dan setakat ini, kami telah membelanjakan puluhan ribu untuk membayar bil elektrik, air dan beberapa perkara lain," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mencuci tangki air yang kotor kerana syarikat tidak mempunyai wang sebanyak RM20,000 sebagai kos mengendalikan kerja tersebut.

Kesan pemaju

Sementara itu, Presiden Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), Tan Jo Hann berkata, adalah mustahil MPAJ gagal mengesan pemaju - Seimbang Sdn Bhd.

"Alasan MPAJ bahawa pihak pemaju gagal dikesan, tidak boleh diterima. Adakah MPAJ selama ini tidak pernah menghubungi pemaju terbabit. Masakan sepanjang 15 tahun pemaju tidak pernah berhubung dengan pegawai MPAJ," katanya.

Tan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan MPAJ bahawa pihak berkuasa tempatan itu tidak dapat mengesan pemaju, menyebabkan perbincangan yang dijadualkan minggu lalu terpaksa dibatalkan.

Permas adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengatur perbincangan di antara pembeli flat Taman Ampang Mewah dengan MPAJ bagi membincangan masalah penduduk yang tidak mendapat geran hakmilik individu.