Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini menjelaskan ia tidak berniat untuk mengumumkan senarai ahli Parlimen yang menerima AP, sebaliknya pengedaran itu adalah satu kesilapan seorang pegawai kementerian, tanpa pengetahuan menteri atau kedua-dua timbalan menteri.

Penjelasan itu, yang dibuat dalam bentuk surat kepada kesemua 219 ahli Parlimen dan ditandatangani Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Sidek Hassan, menyebut bahawa kesilapan itu dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah (Unit Perkhidmatan Perdagangan MITI) Salimi Sajari.

Pada 20 September lalu, MITI mengumumkan nama ahli Parlimen yang diberi AP sejak tahun 2000 hingga sekarang bagi mengimport kereta untuk kegunaan mereka.

Menurut surat itu, yang diedarkan hari ini, senarai berkenaan yang dikepilkan bersama jawapan bertulis kementerian kepada soalan yang dibangkitkan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), tidak ditunjukkan kepada kedua-dua Timbalan Menteri atau kepada beliau dan pegawai-pegawai kanan

MITI yang lain.

Dalam surat itu, Sidek berkata, ketika pegawai berkenaan dipanggil dan disoal, beliau tidak dapat memberi apa-apa penjelasan mengapa ianya berlaku.

Menurut laporan Bernama, Sidek berkata, kementerian kesal perkara itu berlaku dan akan mengambil tindakan terhadap pegawai berkenaan.

Sidek berkata kesilapan pengedaran senarai AP itu juga tidak diketahui oleh Rafidah yang ketika itu mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat dan hanya kembali pada 23 September lalu.