Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rahman Dahlan dangkal isu tanah Ijok'
Diterbitkan:  Feb 15, 2018 8:40 PM
Dikemaskini: Feb 19, 2018 4:54 AM

Pemimpin Umno didakwa panik sehingga mengeluarkan kenyataan yang dangkal terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung penyerahan semula tanah bernilai RM1.18 bilion kepada LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata ia merujuk kepada isu tanah di Ijok yang dapat diselesaikan hanya dalam tempoh empat tahun, berbanding skandal Felda yang semakin tenggelam dalam penyelewengan.

"Tindakan segera Datuk Seri Mohamed Azmin menyelesaikannya adalah merupakan prinsip keadilan sosial dan peduli rakyat kerajaan Selangor.

"Bagaimanapun, tindakan Abdul Rahman mempersoalkan langkah kerajaan negeri jelas menunjukkan pemimpin BN itu dangkal, tidak faham fakta dan tidak memahami latar kes mahkamah berhubung isu tanah di Ijok," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Malaysiakini melaporkan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (gambar, atas, kanan) mendesak Menteri Besar Selangor memberi penjelasan berhubung penyerahan semula tanah bernilai RM1.18 bilion itu sewaktu kesnya belum didengar di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Rahman berkata, tindakan Azmin itu mengundang persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan sebelum ini memihak kepada kerajaan negeri Selangor.

Mengulas lanjut perkara itu, Yin berkata masalah yang diwarisi Azmin daripada menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri.

"Meskipun tanah itu diberi kebenaran untuk dirampas dalam keputusan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun kerajaan negeri perlu membayar pampasan sehingga ratusan juta ringgit kepada dua syarikat dan bank yang memberi pinjaman kepada dua syarikat itu.

"Ia menunjukkan tindakan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri.

"Masalah itu yang diwarisi Datuk Seri Mohamed Azmin telah dapat diselesaikan dengan menjual tanah berkenaan kepada pemaju berwibawa sebanyak RM1.18 bilion dan membolehkan peneroka memperoleh pampasan dan rumah kediaman,"katanya.

Tambah, Yin keadaan ini jelas berbeza dengan Umno yang ‘menghadiahkan’ tanah seluas 3,200 ekar di Ijok itu dengan harga murah kepada syarikat kroni serta mengabaikan nasib peneroka, berbanding Azmin yang membela peneroka terbabit.

Untuk rekod keputusan mahkamah berkenaan dibuat ketika Khalid Ibrahim menjadi menteri besar.

Tanah di Ijok itu merupakan projek Bandar Alam Perdana melibatkan projek pembangunan rumah kos rendah dan rumah teres terbengkalai sejak 2002.

Pemaju saman kerajaan rampas tanah 

Ekoran itu, kerajaan negeri semasa pentadbiran Khalid merampas tanah berkenaan disebabkan peneroka menyerahkan tanah itu kepada pemaju untuk dimajukan dan ribuan pembeli rumah gagal mendapat rumah mereka.

Walaupun projek tersebut diluluskan kerajaan negeri ketika itu, status tanah belum ditukar daripada pertanian kepada permbangunan komersil kerana kegagalan pemaju membayar premium menukar syarat guna tanah.

Kerajaan Selangor kemudian mengambil alih projek di tanah seluas 1,037 ekar itu daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan membelanjakan RM200 juta untuk membiayai kos pembinaan rumah, pembayaran pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kemudiannya menyaman kerajaan negeri dan Khalid di mahkamah tinggi untuk mendapat balik tanah tersebut.

 

Lihat Komen
ADS