Terjemahan Pengedaran surat penjelasan mengenai isu Permit Import (AP) yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Sidek Hassan di Dewan Rakyat hari ini, dipertikaikan oleh ahli-ahli Parliman pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Dalam surat tersebut, MITI menjelaskan ia tidak berniat untuk mengumumkan senarai ahli Parlimen yang menerima AP, sebaliknya pengedaran itu adalah satu kesilapan seorang pegawai kementerian, tanpa pengetahuan menteri atau kedua-dua timbalan menteri.

Surat tersebut yang diedarkan kepada kesemua 219 ahli Parlimen hari ini dan ditandatangani Sidek itu, menyebut bahawa kesilapan itu dilakukan oleh Ketua Penolong Pengarah (Unit Perkhidmatan Perdagangan MITI) Salimi Sajari

Ketika membahaskan bajet 2006 hari ini, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata, surat tersebut diedarkan kepada semua ahli Parlimen hari ini.

Lim mempertikaikan kuasa seorang ketua setiausaha menulis kepada Dewan Rakyat dan kerana tindakan itu telah mengatasi kuasa seorang menteri.

Sebaliknya, kata Lim, surat tersebut sepatutnya ditulis oleh menteri berkenaan dan mendakwa ada kemungkinan Rafidah yang mahu Sidek berbuat demikian.

Ketua pembangkang itu menyifatkan surat tersebut sebagai "menghina dewan" kerana ia tidak mematuhi peraturan dewan dan tidak pernah ada seorang pun ketua setiausaha kementerian berbuat demikian sebelum ini.

Siapa yang kelirukan Dewan?

Mengikut surat yang bertarikh 30 September itu lagi, Sidek mengulangi bahawa kabinet telah membuat keputusan pada 26 Mac 1997 bahawa setiap ahli Parlimen layak mendapatkan satu permit untuk mengimport kereta mewah.

Sidek berkata, kesilapan pengedaran senarai AP itu juga tidak diketahui oleh Rafidah yang ketika itu mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat dan hanya kembali pada 23 September lalu.

Malah, katanya, senarai itu yang dikepilkan bersama jawapan bertulis kementerian kepada soalan yang dibangkitkan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), tidak ditunjukkan kepada kedua-dua Timbalan Menteri atau kepada beliau dan pegawai-pegawai kanan

Bagaimanapun, Lim mahu penjelasan dibuat mengenai siapakah yang telah mengelirukan Dewan Rakyat kerana menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan kabinetnya telah membuat keputusan pada 1997 berhubung kelayakan ahli Parlimen mendapat AP individu, yang bercanggah dengan penjelasan Sidek.

Beliau mempersoalkan bagaimana Sidek boleh berkata yang kementeriannya tidak berniat untuk mengedarkan senarai nama tersebut, sedang beliau (Lim) memang meminta diumumkan senarai penuh pemegang AP individu sejak 1997.

Berikutan itu, Lim meminta Dewan Rakyat supaya menyiasat perkara tersebut dan tidak menerima begitu sahaja penjelasan yang diberikan itu.

Sidang ditangguhkan

Sehubungan itu, Lim mengemukakan usul untuk merujuk Rafidah dan Sidek kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan berhubung isu senarai anggota Parlimen yang menerima AP.

Usul beliau itu disokong oleh ahli Parlimen BN, Mohamed Aziz (BN-Sri Gading).

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Lim Si Cheng menolak usul Lim itu dengan alasan perkara itu tidak membabitkan isu keistimewaan Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibantah oleh Lim dan Mohamed, yang menegaskan bahawa Speaker tidak ada kuasa untuk menolak usul tersebut kerana ia sepatutnya dibuka kepada ahli dewan untuk membuat undian.

Timbalan Speaker Datuk Dr Yusof Yacob yang mengambil alih tugas daripada Si Cheng, sekali lagi menolak usul tersebut, dengan berkata, perkara tersebut boleh dijawab esok sewaktu Rafidah hadir di Dewan Rakyat.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata, tempoh satu jam sesi soal jawab tidak mencukupi untuk menjawab kontroversi isu AP dan mahu menteri berkenaan 'diberi masa sepenuh hari' untuk menjawabnya.

Seorang ahli penyokong kerajaan, Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernama) bagaimanapun tidak bersetuju dengan usul tersebut, kerana menurutnya, usul itu tidak perlu kerana Rafidah akan hadir di dewan esok untuk menjawab isu AP tersebut.

Ketika itu, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) menyebut peraturan tetap dewan dan menggesa Speaker membenarkan ahli Dewan Rakyat mengundi usul tersebut.

Berikutan itu, Yusuf menangguhkan persidangan selama 15 minit. Apabila ia disambung semula, beliau memutuskan usul tersebut tidak perlu dibuka kepada pengundian, dan berkata keputusannya muktamad sepertimana yang diperuntukkan di bawah peraturan tetap 99.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Lim mendakwa, surat penjelasan tersebut diedarkan sebagai persediaan kepada kehadiran Rafidah di Dewan Rakyat esok.

Dengan itu, katanya, Rafidah boleh berhujah esok yang "perkara tersebut telahpun dijelaskan dan ditangani".