Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tiada prosedur baharu dalam kaedah pengundian akan diperkenalkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini, beliau berkata terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung laporan media semalam yang melaporkan SPR akan memperkenalkan kaedah ‘urutan jari’ dalam PRU14 bagi mengelak sebarang penipuan semasa proses mengundi.

Menurutnya, salah faham tersebut berlaku semasa sesi Taklimat dan Simulasi Proses Pilihan Raya Kepada Petugas-Petugas Media Peringkat Negeri Pahang semalam (14 Februari).

Beliau menegaskan bahawa kaedah tersebut bukan satu prosedur atau peraturan khusus yang ditetapkan oleh SPR.

"Ia sebenarnya merupakan salah satu cara bagi petugas pilihan raya untuk membuat pemeriksaan jari terhadap pengundi bagi mengenal pasti cubaan penipuan dengan menggunakan jari palsu semasa proses pengundian,” jelasnya.

Celupan bukan calitan di jari

Mohd Hashim berkata ia selaras dengan Peraturan 19(13) dan 19A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 yang mengkehendaki jari pengundi diperiksa bagi memastikan tiada dakwat pilihan raya di jari pengundi sebelum jari pengundi dicelup dengan dakwat pilihan raya dan pengundi diberikan kertas undi.

“Pemeriksaan terhadap jari dibuat bagi memastikan tiada tandaan dakwat pilihan raya dan juga sebarang halangan seperti sarung jari palsu yang memungkinkan celupan dakwat tidak melekat pada jari pengundi," katanya.

Mohd Hashim berkata kaedah berkenaan telah dipratikkan pada PRU13 lepas dan akan diteruskan pada PRU14 kelak.

"Ianya bukanlah satu proses yang baharu,” katanya.

Mohd Hashim dalam pada itu memaklumkan bahawa pada PRU14, SPR akan mengguna pakai kaedah mencelup jari pengundi menggantikan kaedah mencalit jari sebagaimana dalam PRU13.

Kaedah itu, katanya, telah diguna pakai pada pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13 dan juga semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 yang lalu.

Justeru, Mohd Hashim meminta agar semua tidak menganggap teknik lurutan jari sebagai satu peraturan baharu sebaliknya hanyalah satu daripada cara yang dicadangkan untuk memeriksa dan mengesan jari pengundi sekiranya terdapat kecurigaan berkaitan penggunaan jari palsu.

“Dalam hal ini, SPR memberi jaminan akan memastikan bahawa tidak akan ada ruang untuk mana-mana pihak melakukan penipuan atau cuba mensabotaj sistem pengundian yang dijalankan pada PRU14 nanti,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS