Keadaan ekonomi negara yang bertambah baik telah menjadikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini lebih meriah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Rakyat ceria bila ekonomi kita berkembang 5.9 peratus (Keluaran Dalam Negara Kasar), saham pun naik dan ringgit lebih kukuh.

"Keyakinan terhadap masa depan kita menyerlah, sambutan tahun ini saya lihat disambut dengan suasana yang sangat ceria dan meriah," katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baru Cina MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Bank Negara Malaysia pada Rabu lalu mengumumkan KDNK pada 2017 berkembang 5.9 peratus, lebih tinggi berbanding 2016 (4.2 peratus) dan 2015 (lima peratus).

Pada 5 Januari lalu pula, ringgit dilaporkan berada pada tahap tertinggi berbanding dolar AS sejak Ogos 2016, iaitu pada 3.9010 berbanding mata wang itu.

Ia terus menunjukkan peningkatan dan berada pada kadar 3.9010 pada 25 Januari.

Najib juga menyatakan harapannya pada tahun baru lunar ini, iaitu tahun anjing, akan memberikan kejayaan memberangsangkan kepada BN pada pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini timbul spekulasi Najib akan membubarkan Parlimen selepas Tahun Baru Cina bagi memberi laluan kepada PRU ke-14.

Penggal kerajaan akan berakhir pada 24 Jun ini dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.